BERITA UTAMA
Koperal, Konstabel mengaku tak bersalah pau warga asing RM300

Koperal, Konstabel mengaku tak bersalah pau warga asing RM300

KAJANG – Dua anggota polis masing-masing berpangkat Koperal dan Konstabel dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang semalam, atas pertuduhan melakukan pemerasan melibatkan wang bernilai RM300 ke atas seorang lelaki warga Myanmar, Ahad lalu.

Kedua-dua tertuduh, Koperal Nik Ridzuan Nik Man, 39, dan Konstabel Muhammad Najmi Mohd Khodri, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafzan Ab. Aziz.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama-sama didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada mangsa, Wai Lin Phyo, 29, bahawa dia akan ditangkap sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM300 kepada mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Taming Sari 1, dekat Balakong di Hulu Langat sekitar jam 11.30 pagi pada 28 Julai 2024.

Pertuduhan terhadap mereka itu dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun Peguam, Muhammad Wafiq Hadie yang mewakili Nik Ridzuan memohon jaminan minima memandangkan anak guamnya itu menanggung isteri dan tiga orang anaknya.

“Anak guam juga mempunyai penyakit kolestrol dan darah tinggi. Mohon mahkamah membenarkan jaminan rendah ke atas tertuduh,” katanya.

Sementara itu Peguam Mohd Fikah Sanusi yang mewakili Muhammad Najmi turut memohon perkara sama atas alasan anak guamnya itu memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan selain tiada risiko melarikan diri memandangkan masih bertugas sebagai anggota polis.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret Nurul Hafzan membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap tertuduh sebelum mahkamah menetapkan 3 September depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof hari ini dilaporkan berkata kedua-dua anggota polis itu akan digantung tugas sebagai tindakan awal pihaknya sebaik kes itu didakwa di mahkamah.

Sebelum ini pada 29 Julai lepas, media melaporkan pihak polis menahan dua anggotanya yang bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang selepas rakaman mereka melakukan pemerasan ke atas warga asing itu tular di media sosial. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *