KUALA LUMPUR – Susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan segera memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi menyatakan ketetapan tegas Malaysia dalam konflik Palestin.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, insiden terhadap Ismail merupakan jenayah tidak berperikemanusiaan, terkutuk lagi terkeji yang wajib dikecam sekeras-kerasnya.
Menerusi kenyataan di Facebook beliau, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan serangan rejim Zionis itu juga merupakan satu lagi tindakan bacul Israel dalam siri genosid ke atas rakyat Palestin.
“Seluruh keluarga besar pimpinan, penyokong dan akar umbi Perikatan Nasional mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada serta orang-orang yang soleh.
“Perikatan Nasional mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan seluruh rakyat Palestin atas kehilangan pemimpin mereka yang syahid di jalan Allah,” tulis beliau.
Katanya lagi, PN akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman rejim Zionis.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dunia berduka apabila kehilangan seorang pemimpin yang disegani.
Menerusi pautan terbaharu di platform X beliau berkata, pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, yang dipercayai menjadi sasaran peluru berpandu di sebuah bangunan di Tehran pada awal pagi Rabu, menyebabkan dunia berduka.
Pas Kelantan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ismail Haniyeh selepas ketua biro politik Hamas itu dilaporkan terkorban dalam serangan di ibu kota Iran.
Pesuruhjaya Pas, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan Ismail Haniyeh sebagai seorang tokoh yang sangat dihormati oleh dunia Islam atas perjuangannya untuk Palestin.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan agar Allah S.W.T memberi keselamatan kepada seluruh rakyat Palestin dan membalas rejim Zionis dengan pembalasan yang hina dan setimpal dengan perlakuan mereka.
Di Kuala Lumpur, jenazah Ismail Haniyeh akan dibawa ke Doha, Qatar selepas majlis penghormatan terakhir di Tehran yang dijadual Khamis sekitar jam 8 pagi waktu tempatan.
Memetik portal Al Jazeera, kumpulan Hamas dalam kenyataan pada Rabu, berkata, selepas majlis penghormatan terakhir berlangsung di ibu negara Iran itu, jenazah Ismail kemudian akan dikebumikan di ibu negara Qatar pada Jumaat.
Ismail, 62, dipercayai terkorban dalam serangan peluru berpandu yang disasarkan di sebuah bangunan ketika acara angkat sumpah Presiden Iran yang baharu di Tehran pada awal pagi Rabu, memetik laporan AFP.
Susulan serangan itu, pemimpin-pemimpin dunia termasuk Malaysia, Iran dan Turki mengecam keras tindakan Israel yang didakwa telah melanggar undang-undang antarabangsa.
Israel pada Rabu, mengeluarkan kenyataan ringkas yang menyebut negara itu sedang menjalankan siasatan penilaian atas tragedi yang menimpa pemimpin tertinggi Hamas itu.
Pada Jun lepas, sekurang-kurangnya 10 ahli keluarga Ismail termasuk kakaknya terkorban dalam serangan udara Israel di kem pelarian Beach, Gaza. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252