GUA MUSANG: BERSATU menegaskan tiada tempoh ‘idah’ ditetapkan kepada ahli parti itu bagi melayakkan mereka bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU).
Sehubungan itu Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata calon mereka yang diumumkan semalam, Mohd Rizwadi Ismail tidak sepatutnya dijadikan isu walaupun baru menyertai BERSATU.
“Tidak kira baru sertai atau sudah lama sekiranya kita berasakan beliau adalah calon terbaik, kita tetap memilihnya untuk bertanding di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
“Mengambil contoh mereka yang memeluk Islam, walaupun baru sehari memeluk Islam dan kemudian meninggal dunia, dia tetap dikira umat Islam, tidak ada tempoh idah.
“Perlu faham, Mohd Rizwadi bukan mahu menjadi pimpinan BERSATU, sebaliknya hanya mahu menjadi wakil rakyat. Jika mahu menjadi pimpinan parti barulah kita mengambil kira semua itu (tempoh menjadi ahli),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Mohd Rizwadi yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang sebagai calon BERSATU di PRK Nenggiri bulan depan.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang turut memaklumkan pemilihan Mohd Rizwadi sebagai calon disebabkan jumlah pengundi muda di DUN berkenaan paling ramai.
Mohd Rizwadi dikatakan baru menyertai PAS dua hari sebelum diumumkan calon BERSATU.
Mengulas lanjut, Kamaruddin turut mengakui Mohd Rizwadi baru menyertai BERSATU untuk bertanding di PRK Nenggiri.
“Memang betullah dia (Mohd Rizwadi) baru sertai BERSATU beberapa hari lalu. Kita akui mesti ada pihak yang kurang senang dengan pemilihan calon ini namun perkara itu adalah biasa.
“Biasalah calon hanya seorang sahaja yang perlu dipilih. Bukan sahaja di kalangan BERSATU, dalam PAS juga mungkin ada yang tidak berpuas hati namun perkara itu hanya seketika.
“Tumpuan utama kita adalah mahu mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Nenggiri,” katanya.
Jelasnya lagi, Mohd Rizwadi mempunyai ciri-ciri yang boleh menang memandangkan beliau seorang aktivis yang sangat aktif dan orang tempatan selain sangat dikenali di kalangan penyokong PAS.
Katanya, Mohd Rozwadi juga Pengelola Dalwah Halaqat Gua Musang yang bertanggungjawab menyelia serta menguruskan 230 orang pegawai dan kakitangan.
“Berbanding calon Barisan Nasional, dia bukan calon dari DUN Nenggiri sebaliknya dari DUN Galas. Sudah tentu kita mempunyai kelebihan berbanding mereka,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
