TANZA – Tumpahan minyak dari sebuah kapal tangki marin yang karam di luar pantai Teluk Manila di Filipina telah sampai ke pantai perkampungan nelayan berhampiran, mengancam kesihatan dan mata pencarian mereka.
Berita buruk itu diterima ketika usaha membersihkan minyak yang tumpah dari kapal MT Terra Nova yang membawa 1.5 juta liter bahan api industri apabila ia karam di laut bergelora di luar pantai Limay di wilayah Bataan, barat ibu negara Filipina.
Tragedi pada Khamis lalu itu turut mengorbankan seorang daripada 17 anak kapal berkenaan.
Nelayan di bandar Tanza di wilayah Cavite, selatan Manila, kecewa selepas tompokan minyak dikesan di pantai bandar itu dan mereka melaporkan terhidu bau busuk.
Nelayan belayar di luar pantai Teluk Manila dekat dengan tempat tompokan minyak kelihatan, di Paarawan, Malolos, Filipina. – Foto REUTERS
“Tumpahan minyak ini akan memberi kesan besar kepada nelayan kerana kami bergantung kepada laut dan ia kini terjejas oleh tumpahan minyak.
“Kami perlu menjual hasil tangkapan kami dengan sangat murah kerana orang ramai tidak akan membelinya. Dari mana kita dapat rezeki kecuali di laut ini,” kata Renan Honsana, 48.
Pengawal pantai Filipina berkata ia telah menutup kebocoran dari kapal tangki yang terbalik dan akan mula menyedut minyak untuk mengelakkan lebih banyak bahan api daripada bocor.
Ia meninjau perairan Limay, Bulacan dan Cavite melalui udara dan hanya mengesan ‘lapisan minyak yang minimum’.
Pegawai sedang menyiasat sama ada punca kapal karam itu ada kaitan dengan Taufan Gaemi, yang menyebabkan hujan monsun di Filipina, mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 36 orang.
Tumpahan minyak dari kapal tangki MT Princess Empress, yang membawa kira-kira 800,000 liter bahan api industri apabila ia terbalik dan akhirnya tenggelam pada Februari tahun lalu mengambil masa tiga bulan untuk dibersihkan. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252