Ketegangan di Bangladesh: Pelajar boleh sambung pengajian di Malaysia atau sebaliknya

Rusuhan Bangladesh: Pelajar boleh sambung pengajian di Malaysia – Dr. Zambry

IPOH – Pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Bangladesh diberi pilihan sama ada mahu menyambung pengajian mereka dalam negara atau kembali ke negara itu sekiranya keadaan kembali aman, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan supaya perbincangan lanjut diadakan bersama penuntut berkenaan dari segi hala tuju mereka selepas ini.

“Kita akan tengok bagaimana kedudukan mereka ketika ini, apa pilihan mereka, kalau nak sambung dalam negara (atau tidak), tetapi bagaimanapun kita nak kena tengok dari segi kelayakan, kedudukan dan subjek yang mereka ambil dan sebagainya.

“Kita mahu mereka diberi kaunseling atau berjumpa dengan pegawai kita untuk mengetahui kedudukan mereka,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus sempena Persidangan Pemikiran dan Tamaduan Islam Sedunia (WCIT) 2024, di sini, semalam.

Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai lalu berikutan keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018 dan kesan daripada demonstrasi itu mengorbankan lebih 130 nyawa.

Susulan itu, seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 penuntut telah dibawa pulang dari Bangladesh menerusi penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu.

Mengenai WCIT 2024, Dr. Zambry berkata, persidangan itu diharap dapat menghasilkan resolusi dan formula dalam menangani isu global terutama melibatkan keamanan dunia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke persidangan itu hari ini dan dijadual turut dihadiri Anwar.

Dianggarkan lebih 1,000 peserta melibatkan ulama, pemimpin, intelektual, profesional dan masyarakat akan menghadiri persidangan itu pada esok hingga 31 Julai di Casuarina Meru, di sini. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *