KAHERAH – Serangan roket menyasarkan padang bola sepak di perkampungan Druze di Bukit Golan yang diduduki Israel, mengorbankan 12 orang.
Sehubungan itu, penyelaras khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan dan ketua pasukan pengaman PBB di Lubnan hari ini menggesa semua pihak bertenang bagi mengelakkan ketegangan di sempadan Lubnan-Israel meningkat.
Israel menuduh kumpulan bersenjata Lubnan, Hizbullah, melakukan serangan itu dan berikrar membalas dendam, tetapi Hizbullah menafikan bertanggungjawab terhadap serangan paling berdarah di Israel, sejak bermulanya konflik di Gaza.
“Hizbullah akan membayar harga yang tinggi bagi tindakan ini,” kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam panggilan telefon dengan ketua komuniti Druze di Israel, menurut satu kenyataan dari pejabatnya.
Dalam satu kenyataan bertulis, Hizbullah pula berkata: “Kumpulan Islam sama sekali tidak ada kaitan dengan tragedi itu dan sama sekali menafikan semua dakwaan palsu dalam hal ini”.
Serangan itu meningkatkan ketegangan secara mendadak, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap konflik lebih besar merebak ke seluruh Asia Barat.
Roket itu dilaporkan jatuh tepat di padang bola di perkampungan Druze di Majdal Shams di Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel.
Wilayah itu ditawan daripada Syria oleh Israel dalam perang Timur Tengah 1967 dan kawasan yang diduduki secara haram itu tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara.
Hizbullah sebelum ini pernah mengumumkan beberapa serangan roket akan menyasarkan kedudukan tentera Israel.
Perkhidmatan ambulans Israel berkata, seramai 13 orang cedera akibat bedilan roket di padang bola sepak itu.
“Mereka bermain bola sepak ketika mendengar siren dan berlari ke tempat perlindungan.. mungkin mengambil masa 15 saat (untuk sampai ke tempat perlindungan).
“Bagaimanapun, mereka tidak dapat sampai ke tempat perlindungan kerana roket itu jatuh di antara kawasan kosong dan tempat perlindungan, ” kata seorang saksi, Mourhaf Abu Saleh.
Rakaman yang disiarkan di media sosial menunjukkan saat roket itu mendarat dengan siren berbunyi, diikuti dengan letupan besar dan asap berkepul.

Reuters dapat mengesahkan lokasi itu, berdasarkan bangunan dan susun atur jalan yang sepadan dengan imej satelit kawasan berkenaan.
Seorang pakar perubatan perkhidmatan ambulans Magen David Adom, Idan Avshalom berkata, dia menjadi responden pertama tiba ke tempat kemusnahan besar itu.
“Terdapat mangsa yang terkorban di atas rumput dan apa yang saya lihat amat mengerikan,” katanya.
Netanyahu, yang dijadualkan pulang dari Amerika Syarikat (AS) ke Israel semalam berkata, dia akan memanggil Kabinet keselamatannya sejurus tiba.
AS, yang mengetuai usaha diplomatik bagi meredakan konflik rentas sempadan Lubnan-Israel, mengutuk serangan itu sebagai mengerikan.
Ia turut menegaskan, sokongan AS untuk keselamatan Israel adalah ‘tidak berubah terhadap semua kumpulan yang disokong Iran, termasuk Hizbullah di Lubnan’.
“AS akan terus menyokong usaha untuk menamatkan serangan dahsyat ini di sepanjang ‘Garis Biru’ yang mesti menjadi keutamaan,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Garis Biru merujuk kepada sempadan antara Lubnan dan Israel.
Tentera Israel berkata, pelancaran roket itu dilakukan dari kawasan yang terletak di utara perkampungan Chebaa di selatan Lubnan.
Bercakap kepada pemberita di Majdal Shams, jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, forensik membuktikan roket itu adalah Falaq-1 buatan Iran.
Hizbullah sebelum ini mengumumkan akan menembak peluru berpandu Falaq-1 pada Sabtu, mengatakan ia menyasarkan ibu pejabat tentera Israel.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen, Hagari juga berkata, buat masa ini tiada perubahan dalam arahan Komando Barisan Dalam Negeri, iaitu tentera tidak menjangkakan peningkatan ketegangan di Israel.
Sekutu gabungan sayap kanan Netanyahu, Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, menggesa tindakan balas yang keras, termasuk terhadap pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah.
“Untuk membela kematian rakyat Israel, Nasrallah harus membayar dengan kepalanya. Semua di Lubnan harus membayar,” tulis Smotrich di X. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252