Alahai Suhakam, muncul pun tujuh tahun sekali

Alahai Suhakam, muncul pun tujuh tahun sekali

MEMANG wajar kalau bapa Allahyarham Zulfarhan, Zulkarnain Idros tampil dengan nama emosi mempertikaikan kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang membantah keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam pembuli anaknya.

“Mana Suhakam tujuh tahun lalu?” Demikian soalan yang ditinggalkan tergantung Zulkarnain kepada Suhakam, yang konon memperjuangkan hak asasi manusia.

Memang benarlah, ketika kes Zulfarhan didera, dibuli hingga hilang nyawa oleh enam rakannya tujuh tahun lalu, sepatah kata pun tidak keluar dari mulut Suhakam. Seolah Suhakam tidak wujud. Seolah Suhakam tidak tahu kes berkenaan, dan seolah Suhakam menganggapnya perkara remeh.

Tetapi, apabila kes sudah selesai dengan mahkamah memutuskan enam pembuli ke tali gantung, tiba-tiba organisasi yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia ini baru bangun dari tidur yang panjang.

Kebarangkalian tidak mengikuti dari A sampai Z kes berkenaan, Suhakam tampil membuat ulasan atau komen mempertikaikan keputusan mahkamah.

Pada Pak Dee, ini bukan soal ‘nyawa balas nyawa’. Keputusan mahkamah adalah berdasarkan akta dan fakta. Sudah termaktub dalam akta, seseorang bunuh seseorang dengan niat atau tanpa niat, hukumannya gantung sampai mati – mandatori.

Hanya baru kini hukuman mati dimansuhkan. Konon nak beri pengajaran kepada si pelaku supaya sedar, insaf dan jadi manusia yang baik. Tetapi, sama ada hukumannya kekal ditali gantung atau penjara seumur hidup, tengok atas budi bicara mahkamah.

Enam pembuli Allahyarham Zulfarhan masih ada satu peluang lagi. Rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk ketepikan hukuman gantung sampai mati yang disabitkan ke atas mereka.

Ini sebagaimana yang kita didedahkan dalam seminggu dua atau sebulan dua ini, ada sekurang-kurangnya dua atau tiga kes ke tali gantung mendapat keringanan hukuman kepada penjara seumur hidup.

Jadi, kenapa Suhakam cuba mengeruhkan keadaan? Sekurang-kurangnya hormatilah perasaan keluarga mangsa yang kehilangan anak kesayangan, yang menjadi harapa sebuah keluarga.

Allahyarham Zulfarhan berhak untuk hidup normal. Meneruskan pengajiannya di UPNM, bekerja, berumah tangga dan menjalani kehidupan sehingga ke akhir hayat. Tetapi, ajal, maut, jodoh dan rezeki di tangan Tuhan. Takdir menentukan umurnya tidak panjang. Al-Fatihah.

Tetapi, janganlah kita yang duduk di kerusi empuk, meneliti kertas-kertas atas meja dalam bilik berhawa dingin membuat kenyataan yang boleh mengguris hati dan perasaan keluarga arwah.

Tidak terjadi pada diri sendiri atau keluarga sendiri, memang sedaplah bercakap. Cakap kosong, yang ada kepentingan diri, yang sengaja menimbulkan rasa cuak masyarakat yang cintakan keamanan dan keharmonian.

Selepas ini, Pak Dee harap pihak Suhakam lebih aktif dan peka. Jangan keluar sebarang komen untuk tempoh lima, enam tahun sekali atau pada kes-kes tertentu sahaja. Sebaliknya, Suhakam perlu lebih arif dan bertindak segera terhadap isu-isu semasa yang berkaitan dengan hak asasi manusia dan kemanusiaan. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *