ANKARA – Media Amerika Syarikat (AS) melaporkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memutarbelitkan tindakan pembunuhan beramai-ramai tenteranya di Semenanjung Gaza dengan menutup fakta dalam ucapannya kepada Kongres.
Antara putar belit terbesar Netanyahu yang dibuat ketika berucap hampir sejam, apabila mendakwa tiada orang awam terbunuh di bandar selatan Rafah yang diceroboh tentera Israel pada awal Mei lalu.
Portal berita Agensi Anadolu melaporkan ucapan itu dilihat media AS sebagai bercanggah dengan situasi sebenar apabila terdapat banyak laporan mengenai serangan udara dan pengeboman dengan korban besar-besaran di bandar berkenaan.
Ramai Ahli Parlimen Demokrat menolak ucapan itu, manakala penunjuk perasaan pro-Palestin berdemonstrasi di luar bangunan Capitol tempat dia bercakap dan di hotelnya.
Menurut laporan The Associated Press, Netanyahu yang popularitinya semakin merosot daripada tahap sebelum perang, cuba menggambarkan dirinya seorang negarawan dihormati oleh sekutu terpenting Israel dan dialu-alukan di koridor Washington.
“Tugas itu rumit oleh pandangan Amerika yang semakin berpecah-belah mengenai Israel dan perang, yang muncul sebagai isu utama dalam pilihan raya presiden AS,” menurut laporan itu.
The Washington Post menegaskan tindakan Netanyahu yang bermegah mengenai membenarkan bantuan kemanusiaan ke Palestin bercanggah dengan kenyataan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bantuan antarabangsa.
Sementara itu, ketua pembangkang Israel Parti Perpaduan Nasional, Benny Gantz, mendakwa Netanyahu sengaja menangguhkan perjanjian gencatan senjata selama berbulan-bulan.
The Washington Post menekankan Netanyahu cuba mengemukakan persepsi yang sangat berbeza dalam ucapannya, mendakwa bahawa jika kumpulan Hamas menyerah kalah dan membebaskan semua tebusan, perang akan berakhir.
Manakala Politico melaporkan Netanyahu menolak tuduhan mengenai serangan Israel ke atas Gaza dan meramalkan ucapan itu tidak akan membawa kepada perubahan ketara dalam sokongan kepada Israel dalam kalangan Republikan dan Demokrat.
CNN pula berkata, Netanyahu meremehkan dan memesongkan peranan Israel dalam menyebabkan persengketaan awam yang berterusan di Gaza.
Ia menyatakan ucapan Netanyahu memberi tumpuan kepada perang yang berterusan dan mengecam musuhnya Iran, Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan penunjuk perasaan.
Tokoh terkemuka dalam Kongres AS, termasuk Senator Bernie Sanders dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Nancy Pelosi mengkritik penjenayah perang.
“Ia akan menjadi kali pertama dalam sejarah Amerika bahawa seorang penjenayah perang diberikan penghormatan kerana dia tidak sepatutnya dialu-alukan dalam Kongres AS,” kata Sanders.
Pelosi berkata, pembentangan Netanyahu di Dewan adalah persembahan paling teruk bagi mana-mana orang kenamaan asing yang dijemput dan diberi penghormatan dengan keistimewaan berucap di Kongres Amerika Syarikat.
Rashida Tlaib, satu-satunya ahli Kongres Palestin-Amerika, berkata tepukan gemuruh Netanyahu di dewan kongres amat menjijikkan.
Rashida turut memegang sepanduk kecil yang bertulis “Penjenayah Perang” di satu sisi dan “Pesalah Genocide” di sebelah yang lain sepanjang ucapan itu.
Ribuan penyokong pro-Palestin menganjurkan tunjuk perasaan di jalan-jalan di Washington, sekitar dan dalam hotel penginapan Netanyahu. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252