Oleh: Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa
SEMASA awal penglibatan Allahyarham Datuk Seri Salehudin Ayub dalam parti politik, beliau dikenali sebagai ‘budak suci’ dalam Pemuda Pas.
Wajahnya yang nampak ‘innocent’ dan dilihat semacam ‘budak yang lurus’ menyebabkan abang-abang yang lebih senior dalam Pas menggelarnya ‘budak suci’.
Cerita ‘budak suci’ ini sering diulang beliau bersama dengan saya dalam sembang-sembang kosong kami sebagai ‘ubat penenang’ hilangkan tension dalam kerja harian kami sebagai ahli politik.
Waktu Parti Amanah diasaskan, Datuk Seri Salehudin sentiasa berbincang sesama rakan bagaimana Amanah harus berdepan dengan berbagai dugaan terkhusus label “parti serpihan Pas” dan ‘khadam DAP’.
Semangat beliau meneruskan tekad menubuhkan parti Amanah menjadi sebahagian dari inspirasi pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah menempuh berbagai cemuhan dari parti sejarah.
Seorang sahabat bukan sahaja naik turun bersama, tetapi juga bermusafir bersama sehingga dapat kenali hati-budi masing-masing. Demikian semasa Allahyarham dan saya naik turun dalam karier politik, kami berkongsi semangat antara satu sama lain.
Saya sempat berkhidmat di bawah kepimpinan beliau semasa Allahyarham menjadi Ketua Pemuda Pas, beliau memberi kepercayaan kepada saya memimpin Lujnah Perpaduan Nasional Pemuda dan antara program yang sangat disukainya ialah program dialog dengan NGO non-muslim bagi memperkenalkan Pas waktu itu kepada khalayak non-Muslim.
Saya banyak juga bermusafir dalam dan luar negara bersama beliau antaranya dalam program AMSEC (Asean Muslim Secretariat) ke Jakarta Indonesia, Misi Bantuan Kebajikan ke Palestine membawa kami melalui jalan darat ke negara lain Jordan, Syria dan Mesir.
Sepanjang perjalanan banyak yang kami kongsi kisah-kisah peribadi dan dari sini saya mengetahui cerita ‘budak suci’ beliau. Beliau tidak lokek senyum dan cuba mengambil hati semua pihak kerana itu beliau layak digelar diplomat dalam mengendalikan berbagai krisis parti dan antara parti.
Karier politiknya sampai ke tahap diberi penghormatan duduk dalam kabinet dua kali iaitu semasa PH1.0 dan Kerajaan Perpaduan. Saya tak akan lupa peristiwa semasa beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup, beliau berhubung dengan saya bertanyakan konsep Rahmah.
Beliau berbuat demikian kerana sebelumnya semasa saya menjadi Menteri Agama, saya telah perkenalkan Gagasan Negara Rahmah dan diperakui oleh MRR dan Kabinet tahun 2019.
Beliau berseloroh sambil berkata “Syeih.. ana nak ambil Rahmah enta”. Saya sambut dengan nada positif dan memberikan sokongan tak berbelah bagi kerana Rahmah dan Amanah tak dapat dipisahkan.
Selepas itu seluruh negara mengenali inovasi Rahmah dan produk berjenama Rahmah. Kami berjenaka kemudiannya siapa sebenarnya yang perkenalkan Rahmah sebagai jenama?
Allahyarham berseloroh “kalau ana tak buat Rahmah orang tak kenal Amanah…” saya pula membalasnya, “kalau tak ada yang fikir Rahmah dan lontar dulu takdalah Menu Rahmah hari ini,” kami ketawa dalam keadaan penuh mesra, mungkinkah ini yang dikatakan “Fastabiqul khairat..” (berlumba-lumbalah melakukan kebaikan).
‘Budak suci’ kini dikenali sebagai Bapa Rahmah dan telah meninggalkan legasi serta berbekas inovasi Rahmahnya kepada seluruh negara.
Datuk Amir Ali Mydin dalam ucapannya semasa majlis sempena setahun pemergian Allahyarham, sebak menamatkan ucapannya kerana teringatkan keikhlasan Allahyarham meyakinkan beliau mengenai Menu Rahmah.
Datuk Amir tauke Mydin setelah yakin dengan keikhlasan Allahyarham berazam untuk lakukan Menu Rahmah RM5 dan kerana keazaman itulah yang lain turut melakukannya.
Beliau sebak ketika berkata, “hanya kerana ikhlasnya Allahyarham membela rakyat yang susah, Menu Rahmah menjadi kenyataan…”
Hari ini, 23 Julai 2024 genap setahun Bapa Rahmah meninggalkan kita dan bagi memperingati jasa beliau kerajaan Madani meneruskan label Rahmah dalam berbagai program kebajikannya untuk rakyat yang memerlukan, bahkan dalam MADANI, huruf I mewakili Ihsan sering disekalikan ungkapannya dengan nilai Rahmah.
Allahyarham Salehudin bermula perjalanan politiknya dengan gelaran ‘budak suci’ dan mengakhiri perjalanannya dengan Bapa Rahmah. Al-Fatihah untuk sahabatku Salehudin Ayub. – NasionalDaily
Penulis, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa adalah Timbalan Presiden Amanah
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252