PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, bagi mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong menggantung Parlimen, ketika tempoh darurat.
Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan Hassan dan Abdul Aziz supaya Mahkamah Tinggi mendengar merit permohonan semakan kehakiman mereka.
Turut bersidang, Presiden Mahkamah Rayuan Tan SriAbang Iskandar Abang Hashim, dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nallini, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Tengku Maimun dalam keputusan panel berkata, kedua-dua pemohon memenuhi keperluan bagi memulakan prosiding semakan kehakiman.
Sehubungan itu, mahkamah mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan (yang menolak permohonan mereka) dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi supaya permohonan substantif didengar.
Berita Harian melaporkan, mahkamah juga menetapkan pengurusan kes (di Mahkamah Tinggi) pada 31 Julai ini.
Pada Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman Aziz, Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketua pembangkang ketika itu), bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Tan Sri Johari Abdul dan bekas Ahli Parlimen Pulai, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Permohonan itu ditolak dengan alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar isu undang-undang yang dikaitkan dengan nasihat perdana menteri kepada raja, bagi mengisytiharkan Ordinan Darurat.
Sementara itu permohonan Hassan, yang difailkan secara berasingan, ditolak Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada April. Pada 24 November 2021, Mahkamah Rayuan menolak kedua-dua rayuan berkenaan.
Anwar kini Pedana Menteri dan Johari yang kini Speaker Dewan Rakyat menarik balik rayuan mereka, manakala Salahuddin meninggal dunia pada 23 Julai tahun lalu.
Kedua-dua pemohon menamakan Muhyiddin dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman terbabit.
Mereka memohon perisytiharan keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyebabkan penggantungan Parlimen, bertentangan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, dan tidak mempunyai sebarang kesan.
Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin bertindak bagi pihak kerajaan, manakala peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakili Hassan dan Aziz. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252