Albertine Leo ditemui dalam kawalan penculik di hotel murah di Batang Kali

Albertine Leo ditemui dalam kawalan penculik di hotel murah di Batang Kali

JOHOR BAHRU – Dua lagi individu ditahan berkaitan kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo, Sabtu lalu, menjadikan jumlah suspek seramai lima orang.

Ketua Polis Johor Bahru, M Kumar berkata, seorang suspek wanita ditahan malam tadi, manakala seorang lagi lelaki berusia 31 tahun ditahan jam 4.45 pagi di Batang Kali, Selangor bersama Albertine.

Katanya, kanak-kanak berkenaan ditemui dalam keadaan selamat di sebuah hotel murah dan kini berada di sebuah hospital bagi pemeriksaan kesihatan.

Jelasnya, ketika ditemui, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan atau perubahan fizikal seperti dakwaan rambutnya sudah dipotong.

“Kita mengesahkan kanak-kanak sudah ditemui dalam keadaan selamat. Empat suspek sudah direman empat hari, manakala seorang lagi yang ditahan bersama mangsa akan dibawa pulang ke Johor untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Semua lima suspek tidak mempunyai hubungan pertalian darah dengan mangsa, mangsa kita sudah hantar untuk pemeriksaan doktor dan kita tunggu keputusan doktor,” katanya dipetik UtusanTV pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Johor Bahru mereman empat hari tiga suspek termasuk seorang wanita yang ditahan berhubung kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia berkenaan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Suhaili Sapun selepas membenarkan permohonan dibuat pihak polis.

Tempoh reman yang bermula hari ini sehingga Jumaat ini membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas ketiga-tiga suspek mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, dua suspek lelaki tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru masing-masing yang berpakaian lokap berwarna oren dan ungu pada jam 8.45 pagi diiringi anggota polis dengan tangan bergari.

Manakala, seorang lagi suspek iaitu wanita tiba 10 minit kemudian dengan pakaian lokap warna oren dikawal ketat anggota polis wanita.

Semalam, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 28 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 petang di sekitar kawasan Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Albertine disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam, Sabtu lalu ketika di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri.

Kes kehilangannya itu diklasifikasikan semula daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *