KUANTAN – Datuk Mohamad Nizar Najib menafikan desas-desus kononnya beliau ada bertemu dengan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Pahang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, ‘pertemuan’ yang tular di media sosial itu tidak pernah berlaku.
Menurutnya, beliau tidak akan berkomplot untuk mengkhianati UMNO yang diperjuangkan keluarganya sejak ia ditubuhkan.
“Assalamualaikum semua, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya desas-desus yang menyatakan saya telah berjumpa dengan pemimpin pembangkang untuk jatuhkan kerajaan negeri Pahang.
“Pertemuan dongeng ini tidak pernah berlaku sama sekali. Ayahanda (Datuk Seri Najib Razak) selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita agar setia kepada parti.
“Mana mungkin saya akan membelot untuk khianati kerajaan negeri Pahang yang diterajui oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, seorang pemimpin yang saya amat kasihi dan hormati,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Menurut Mohamad Nizar, Wan Rosdy yang banyak membantu pengundi di kawasan Peramu Jaya, Pekan adalah seorang pemimpin baik dan mudah didekati.
“Mana mungkin saya seorang Exco Kerajaan Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri tergamak untuk mengkhianati beliau sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang beliau berikan.
“Saya bukan seorang ‘katak’ politik yang sanggup gadaikan prinsip dan maruah serta ‘menjualkan’ diri kepada mana-mana pembida yang tinggi,” katanya.
Justeru, Nizar yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan meminta menghentikan fitnah untuk keuntungan politik murahan.
“Nabi Muhammad SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba). (Hadis Riwayat al-Bukhari).
“Mesejnya jelas, saya kekal setia bersama UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Pahang yang ada sekarang,” katanya.
Terdahulu, tular satu poster di media sosial yang mendedahkan Pahang sedang goyang! New State Government akan naik. Anak Bossku sudah jumpa PN. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252