MENURUT Kak Lah, sepanjang beliau mengenali Mak Bonda dari tahun 1996 hingga 2000, Mak Bonda telah memberi pelbagai cerita dan idea kehidupan kepadanya. Pelbagai kata berbentuk nasihat, marah, sindiran dan dorongan dihamburkannya. Ini mendorong Kak Lah untuk berfikir dan merenung kata-katanya itu.
Kadang-kadang apa yang dikatakan oleh Mak Bonda itu ada benarnya, walaupun pada mulanya kelihatan dan kedengaran sangat pelik. Mak Bonda juga pernah berkata kepada Kak Lah bahawa ceritanya itu “nampak impossible, tetapi bukan dongeng”. Apa yang diceritakannya adalah sejarah yang telah berlaku pada suatu masa dahulu yang pernah dilaluinya.
Dia juga pernah mencabar generasi Islam pada hari ini untuk bersatu dan membela Islam dan masyarakatnya. Katanya, “kalau hebat sangat buat barisan, kenapa tak pergi ambil empat wilayah (Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla) tu yang huru hara dan bertumpah darah tu?”
Kata-kata Mak Bonda itu kepada Kak Lah menunjukkan perhatian Mak Bonda terhadap keselamatan bumi dan bangsa Melayu serta agama Islam yang pernah gemilang pada satu masa dahulu.
Empat wilayah itu pernah menjadi pusat kegiatan kerajaan Islam ketika kerajaan pimpinan keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang. Di situlah kerajaan Sang Raja Tawal dan keturunannya mengukir nama dalam sejarah. Adakah Mak Bonda “jelmaan” Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I?
Mak Bonda memang seorang wanita misteri. Dia selalu bercerita mengenai peperangan yang dilaluinya. Dia pernah menggunakan rambutnya yang panjang sehingga ke betis itu untuk dijadikan tali temali mengalahkan musuhnya. Dia mengaku mempunyai kepandaian luar biasa sebagai seorang manusia.
Dia mempunyai pengetahuan yang banyak mengenai masa lepas dan petua-petua kehidupan mata hatinya dalam dan tajam. Bagaimanapun, dia tidak membenarkan sesiapa menulis mengenai sejarah Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang selagi dia masih hidup. Permintaan seorang kenalan Kak Lah pada tahun 1996 untuk menulis riwayat hidup Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, telah dibantahnya dengan keras. Katanya kepada Kak Lah, “Aku duk hidup lagi, mana boleh buat sejarah tu”. Usaha itu memang akhirnya terbengkalai.
Mak Bonda juga pernah mencerita dan menunjukkan kepada Kak Lah batu-batu yang beliau ambil dari beberapa negara yang dilawatinya. Batu itu disimpan dalam tin dalam bilik kecil tempat dia bersuluk. Bilik itu berkeluasan tujuh kaki kali empat kaki. Dalam tin itu berisi batu dan rambutnya yang disimpan dalam bilik atas para di tepi dinding.
Dalam bilik itu tergantung gambar Syeikh Abdul Kadir Jailani dan ada sebuah buku dairi berwarna merah. Dalam buku itu tercatat senarai nama pemimpin Malaysia. Ada yang dia letak tanda pangkah dan betul (dalam bulatan). Penuh makna dan persoalan bagi Kak Lah.
Apa sebenarnya maksud beliau mengenai persoalan pemimpin yang ditanda pangkah dan tanda betul. Persoalan itu kemudian diajukan kepada Mak Bonda, “kenapa dipangkahnya pemimpin itu? Mak Bonda menjawab, pemimpin yang ditanda pangkah itu tidak layak menjadi seorang pemimpin.
Sebanyak 60 negara telah disinggahinya. Katanya, “Ini batu-batu yang aku ambil di seluruh negara yang aku jelajah. Di setiap negara yang aku singgah, aku ambil sebiji batu sebagai bukti aku pernah ke negara itu”. Jumlah batu sebanyak 60 biji yang berlainan bentuk dan rupa. Dia serahkan batu itu kepada Kak Lah untuk disimpan. Begitu juga gumpalan rambutnya yang dikumpul sepanjang hidupnya juga diberikan kepada Kak Lah untuk simpan.
Mak Bonda pernah berpesan kepada Kak Lah, jangan ambil hak orang lain. Beliau juga berpesan, “Sejarah akan kembali kalau kita sebagai pemimpin tidak selesaikan perkara yang melibatkan hak dan hati jadi terguris”. Kata-kata Mak Bonda itu tentunya merujuk kepada kepimpinan yang sangat luas maknanya; namun perhatiannya ialah kepimpinan negara yang dipertanggungjawabkan hal-hal penting rakyat atau pengikutnya.
Sejarah pertumpahan darah Malaysia mungkin akan berlaku lagi jika para pemimpin yang bertanggungjawab tidak menguruskan permasalahan masyarakat dan perkauman di Malaysia dengan segera. Jika mereka membiarkan cabaran-cabaran terhadap hak orang Melayu dan agama Islam seperti peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu dicabar dan dihina oleh sekumpulan rakyat Malaysia lain tanpa ada sebarang pembelaan, maka orang Melayu dan Islam akan tersinggung; Mereka mungkin akan membalas balik sehingga berlaku pertumpahan darah.
Peristiwa 13 Mei 1969 akan berulang semula. Inilah yang dikhuatiri oleh Mak Bonda. Pandangan dan pendapatnya mengundang pelbagai persoalan yang sukar dirungkai. Siapakah Mak Bonda? Pernahkah beliau menjadi pemimpin kerajaan pada suatu masa dahulu?
Mak Bonda juga memberikan kepada Kak Lah batu delima merah yang amat cantik. Kak Lah telah bermimpi menerima batu delima itu daripada seorang wanita. Akhirnya mimpi itu menjadi kenyataan, apabila Mak Bonda menerima Kak Lah sebagai pewarisnya dan memberikan batu delima merah itu kepada Kak Lah. Hingga kini batu delima itu menjadi perhiasan Kak Lah.
Sepanjang Kak Lah mengenali Mak Bonda, beliau banyak bercakap mengenai perkara yang mempunyai simbolik dan ilmu yang dalam. Antaranya, beliau pernah berkata:
“Ilmu ketuhanan adalah ilmu untuk kita mengenal diri dan mengenal juga si Pencipta Alam serta Nabi Adam dan Hawa. Hidup di bumi berbilang agama dan bangsa dan kita tidak boleh bersengketa, dan tanah pusaka adalah hak untuk orang Melayu”.
Ingatan Mak Bonda itu penuh bermakna. Baginya agama Islam ialah agama yang mengajar manusia mengenai ketuhanan yang esa, yang mencipta alam semesta dan Nabi Adam dan Hawa sebagai penghulu pencetus umat manusia. Oleh itu, setiap kaum dan bangsa yang dijadikan Allah SWT itu adalah bersaudara dan sepatutnya berbaik-baik antara satu sama lain.
Tanah Melayu ialah pesaka hak orang Melayu sejak dahulu. Tentu pemerhatiannya ini dilakukan dengan pengetahuannya yang luas, termasuk sejarah bangsanya. Perhatiannya kepada politik bangsa dan dunia sangat jelas dalam kata-katanya itu. Adakah dia jelmaan Dewi Durga atau Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I?
Mak Bonda menunjukkan kepada Kak Lah 13 helai kain kuning yang sangat disayanginya dan disimpan dengan baik sekali. Dia tidak bercerita kepada Kak Lah mengenai kain-kain kuningnya itu. Namun, Kak Lah percaya itulah simbol pakaian Raja Tanah Melayu dan Selatan Thailand, yang pernah menjadi kerajaan Grahi, Langkasuka, Empayar Cermin, Majapahit Barat, Pattani dan Kelantan pada suatu masa dahulu. Adakah Mak Bonda jelmaan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang keturunan Dinasti Grahi?
Mak Bonda tidak mempunyai kad pengenalan Malaysia. Seolah dia pengembara yang tidak mempunyai identiti diri. Dia tidak terikat sebagai rakyat kepada mana-mana negara. Maka, pada suatu hari, dia meminta Kak Lah membuat kad pengenalan untuk dirinya. Kak Lah bertanya kepada Mak Bonda, “Untuk apa?”. ‘
Dia jawab, “Emmm..aku boleh langkah panjang sikit”. Jika difikirkan secara mendalam, sebenarnya Mak Bonda tidak perlu kad pengenalan kerana dia boleh bergerak ke mana sahaja yang disukainya, seperti yang dilakukan sebelum ini.
Namun, ada yang tersirat di hatinya, iaitu diam ahu menjadi rakyat Malaysia kerana rasa cintanya kepada negara ini selepas begitu lama dia berkelana. Kedua, dia mahu perkenalkan identitinya dan hubungannya pada masa dahulu dengan Malaysia sebagai tanah airnya. Dia mahu dikebumikan di sini.
Mak Bonda banyak memberikan nasihat yang penting. Antaranya:
“Jangan lupa kasut. Ertinya, jangan lupa kepada orang atau tempat yang berjasa kepada kita atau sesebuah negara, sifat dan darah akan tetap menjadi baka kepada manusia. Manusia yang berjuang adalah manusia yang ada darah pemerintah dan pemimpin yang terdahulu… dari zaman ke zaman lagi sejarah telah terbukti, contohnya, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad tu. Dia adalah pemimpin yang tulen dan tegas serta dalam mata hatinya”.
Nasihat dan ingatan Mak Bonda itu sangat dalam maksudnya. Dia seolah ingin mengingatkan kita dengan peranan kasut yang diambil mudah oleh manusia. Pada kebiasaannya, sepasang kasut sangat penting sebagai pengalas kaki dari tercedera atau terluka kerana terpijak batu, kaca atau benda tajam ataupun dipatuk ular dan sebagainya.
Tanpa kasut juga kita tidak akan kelihatan sempurna. Tetapi, bagi Mak Bonda, dia melihat pemimpin itu sebagai kasut yang menjadi penyelamat anak buah atau bangsanya. Sebagai pemimpin yang menentukan kehidupan pengikutnya, dia mestilah berusaha sebaik mungkin untuk memaju dan menaikkan martabat kehidupan para pengikut atau anak buah yang dipimpin. Jika dia gagal berbuat begitu, masyarakat yang dipimpinnya akan menjadi lemah dan mundur.
Sebaliknya pula, pengikut atau masyarakat yang dipimpin patutlah tidak melupakan jasa pemimpin. Masyarakat hari ini juga jangan melupakan pemimpin yang lepas, yang telah membina tamadun bangsa, sehingga dengan keadaan itu, tamadun itu terus dapat berkembang dan dikecapi oleh masyarakat hari ini.
Perubahan masyarakat memang berlaku tanpa dapat ditahan. Namun, jasa pemimpin lama dan masyarakat lama dengan yang sekarang tidak akan ada latar belakang atau sejarah yang telah membentuk hala tuju masyarakat hari ini.
Bagi Mak Bonda, kasut itu ialah tapak dan sejarah yang telah menyumbang kepada orang Melayu dan perkembangan Islam pada hari ini. Oleh itu, orang Melayu hari ini, janganlah lupa kepada pemimpin lama dalam sejarah tamadun bangsanya. Malah, bagi Mak Bonda, masyarakat hari ini patut menghormati pemimpin lama kerana pemimpin hari ini juga berasal atau berbaka pemimpin lepas.

Menurutnya, darah pemimpin lama itu akan mengalir kepada pemimpin baharu kerana baka seseorang itu sangat penting menentukan masa depan mereka. Dia mengambil contoh, Tun Dr. Mahathir. Baginya, kepimpinan mantan Perdana Menteri yang dianggap cemerlang selama 22 tahun memegang tampuk pemerintahan negara, adalah kerana keturunannya juga pemimpin masyarakat.
Dr. Mahathir dari sebelah ibunya, Wan Tempawan berketurunan Datuk Pekerma, Penghulu Langkawi yang tersebut dalam Lagenda Mahsuri, Langkawi. Mahsuri, seorang wanita yang cantik jelita telah dihukum bunuh kerana dikatakan bermain cinta dengan Deramang dari Sumatera peninggalan suaminya Wan Derus berperang menentang Siam.
Mahsuri yang berasal dari Phuket, Siam telah bersumpah selama tujuh keturunan Langkawi akan menjadi padang jarak padang tekukur. Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri telah membawa Aishah, keturunan Wan Derus balik ke Langkawi untuk menghapuskan sumpahan itu. Langkawi telah menjadi pulau pelancongan tersohor di dunia. Acara Le Tour de Langkawi dan LIMA, telah menjadi agenda tahunan negara dipersada antarabangsa.
Mak Bonda melihat semuanya. Dr. Mahathir dikaguminya sebagai pemimpin yang tegas dan tajam mata hatinya. Mak Bonda pernah menyuruh agar Kak Lah menjemput Dr. Mahathir yang ketika menjawat jawatan Perdana Menteri untuk berjumpa dengannya. Katanya, “Aku nak mandikan Dr. Mahathir agar dia boleh hidup sehingga 100 tahun, boleh dia jaga dan pimpin Malaysia”.
Kak Lah terpaksa mengabaikan sahaja kata-kata Mak Bonda itu. Mustahil bagi Kak Lah, seorang insan biasa untuk membawa seorang pemimpin negara berjumpa seorang wanita yang belum pasti asal usul dan identitinya.
Pada tahun 1998, Mak Bonda pernah menyatakan kepada Kak Lah, katanya, “10 tahun lagi pertumpahan darah akan berlaku di Selatan Thailand, ramai rakyat dan keturunan aku di sana”. Telahannya itu benar-benar berlaku; pada sekitar 2009, empat wilayah di Selatan Thailand bergolak dan berlaku pertumpahan darah. Ratusan anak muda terkorban kerana berusaha untuk membebaskan wilayah itu dari kerajaan pusat Thailand.
Tindakan ketenteraan Thailand yang begitu kejam, telah meredakan keadaan secara permukaannya. Namun, tindak balas secara kecilan tetap berlaku. Ketegangan terus berlaku di sana. Siapakah wanita ini? Kata beliau lagi, “pendatang asing akan membuat masalah dan pembunuhan di Tanah Melayu”.
Mak Bonda boleh melihat kedatangan pendatang asing akan menimbulkan kekacauan sehingga akan berlaku pertumpahan darah jika mereka terlalu ramai sehingga tidak dapat dibendung. Menurut Menteru Sumber Manusia (ketika itu), Datuk Seri Richard Riot Jaem, kini dianggarkan seramai 6.7 juta pekerja asing di Malaysia. Dari perangkaan itu, hanya 2.1 juta datang secara sah.
Mereka datang ke Malaysia kerana dorongan rezeki yang mudah dan juga kerana penguatkuasaan yang lemah. Pekerja tempatan pula dikatakan terlalu memilih kerja kerana gaji yang ditawarkan sangat rendah. Majikan lebih suka mengambil pekerja asing, walaupun tidak berdaftar, kerana mereka boleh bekerja di semua bidang yang ditawarkan. Ini termasuk menjadi buruh dan pekerja sektor pembinaan, pertanian dan perkhidmatan umum.
Mereka juga mula berani menjalankan perniagaan dengan menyewa tapak dari penduduk tempatan. Ada juga yang menjalankan aktiviti meminta sedekah dengan pendapatan yang tinggi. Sikap penduduk Malaysia yang tidak apa dengan hal ini juga menambahkan bilangan kemasukan mereka, terutama bagi pemegang pas sosial yang menggunakannya sebagai peluang untuk mencari pekerjaan sebagai pekerja seks.
Mereka dibawa oleh sindiket-sindiket yang sangat berleluasa kerana kelemahan pemantauan. Sempadan Malaysia Barat dan Timur juga mudah dibolosi. Kes terbaharu ialah kemasukan orang Rohingya di utara sempadan Perlis-Thailand. Semua pihak mengaku kebanjiran pendatang tanpa izin ini akan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam negara. Ini tidak lari daripada kebimbangan dan amaran Mak Bonda.
Pada suatu hari ketika di rumah Mak Bonda, Kak Lah dapati mak Bonda sedang bercakap dengan haiwan peliharaannya iaitu kambing dan itik. Percakapannya itu seolah difahami oleh dua haiwan berkenaan. Inilah keistimewaan Mak Bonda.
Mak Bonda sebenarnya seorang yang sangat cintakan bangsa dan kebudayaannya. Beliau pernah meminta Kak Lah memakai baju kuning dengan keris bersilang untuk menunjukkan kedudukannya sebagai keturunan diraja. Namun, Kak Lah membiarkan sahaja permintaannya itu kerana bimbang dengan pandangan orang ramai. Suatu hari, apabila dikumandangkan lagu dikir Cik Siti Wan Kembang, Mak Bonda menangis mengalir air mata. Beliau bangun dan terus masuk dalam bilik. Seolah ada rahsia yang cuba disembunyikan. Air matalah yang menjadi temannya untuk memujuk hatinya yang kecewa.
Itik peliharaan Mak Bonda ditinggalkan kepada suaminya bernama Anuwar supaya tidak menjadi lara. Menyembuhkan rindu yang mendalam kepada dia kerana dia sudah nak meninggal dunia. Aku tak mahu dia jadi seperti Tun Teja, gila kat aku sampai bawa hayat. Akhirnya, betul Ayah Wa sama seperti Tun Teja, mati dalam jiwa lara. Tiap minggu pergi ke kolam Tanah Serendah Sekebun Bunga agar harapan Mak Bonda datang balik kepada dia.
Ketika Kak Lah berusia 40 tahun, Mak Bonda pernah berkata, “13 tahun lagi mu nantilah, tengoklah”. Kata-kata Mak Bonda itu banyak benarnya apabila pada tahun 2013 banyak perkara yang di luar jangka telah berlaku kepada Kak Lah. Kesedihan dan cabaran hidup Kak Lah juga telah berakhir.
Antaranya, termasuklah Perasapan dan Pengisytiharan yang telah diceritakan sebelum ini. Majlis yang penuh adat istiadat itu telah memasyhurkan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang sebagai pemerintah wanita yang pertama di Kelantan yang dilakukan oleh Kak Lah dengan menjulang keris pusakanya.
Keris itu ialah lambang kekuasaan Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang wujud sejak beratus ribu tahun di tanah airnya. Kak Lah juga dapat mengisytiharkan nasab keturunan keluarganya yang tertutup selama ini.
Kak Lah membawa Mak Bonda ke Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang ke Kelantan, mereka melalui melalui Kampung Telaga Papan dan sampai ke Padang Saujana, Besut, Terengganu, Mak Bonda menunjukkan kepada Kak Lah, “Lubang tu aku tanam empat orang. Lubang situ aku tanam tujuh orang dan hujung sana aku tanam 14 orang. Semua tempat aku tanam tu, mana ada pokok naik tinggi, panas, tanah perang, tanah berdarah…”
Kak Lah melihat sendiri tempat yang ditunjukkan oleh Mak Bonda itu memang tidak ditumbuhi sebarang pokok. Kawasan itu sebuah padang yang luas sehingga penduduk tempatan menggelarnya Padang Saujana. – NasionalDaily
Bersambung
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252