KUALA LUMPUR – Barisan Menteri Kabinet hari ini menzahirkan ucapan Salam Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan menyeru masyarakat agar terus menyemai semangat saling membantu dan menyantuni golongan yang memerlukan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam hantaran di Facebook berkata Aidiladha mengajar bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas pasti mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah SWT.
Beliau turut berharap sambutan kali ini dapat mendekatkan masyarakat kepada nilai kasih sayang, kesabaran dan keikhlasan sesama insan.
“Semoga hari yang penuh keberkatan ini mendekatkan hati kita kepada kasih sayang, kesabaran dan keikhlasan sesama insan. Salam Aidiladha, Maaf Zahir dan Batin,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Aidiladha bukan sekadar pengisian ibadah korban semata-mata, sebaliknya mendidik umat manusia tentang erti keikhlasan, ketaatan dan kasih sayang.
“Dalam menghayati semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, marilah kita memperkukuh ukhuwah, menyantuni mereka yang memerlukan serta mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT,” kata Zambry.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut menzahirkan harapan agar perayaan yang penuh makna ini dapat membawa keberkatan, kedamaian serta kebahagiaan kepada seluruh rakyat di negara ini.
Beliau berkata Aidiladha juga menjadi peringatan penting tentang nilai pengorbanan dan keikhlasan yang menjadi asas kukuh kepada pembentukan sebuah masyarakat yang harmoni.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata setiap pengorbanan yang dilakukan dengan hati yang ikhlas akan membawa keberkatan yang besar di sisi Allah SWT.
“Di sebalik setiap kejayaan, kebahagiaan dan nikmat yang kita kecapi hari ini, pasti ada pengorbanan yang telah dilalui. Sama ada dalam membesarkan keluarga, menuntut ilmu, mencari rezeki mahupun berbakti kepada masyarakat, setiap usaha yang dilakukan dengan penuh kesabaran dan keikhlasan mempunyai nilainya yang tersendiri,” katanya.
Beliau juga menyeru masyarakat supaya memperbanyak rasa syukur, mengeratkan silaturahim serta terus menyemai semangat saling membantu dan berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang bernasib baik.
Nancy turut mendoakan agar segala amal ibadah dan doa yang dipanjatkan seluruh umat Islam diterima Allah SWT, selain dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan hati serta keberkatan dalam setiap langkah kehidupan. – BERNAMA
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001