TOKYO – Harry Kewell dipecat sebagai jurulatih kelab Jepun, Yokohama F Marinos hari ini, hanya dua bulan selepas mengemudi kelab itu ke final Liga Juara-Juara Asia.
Pasukan bekas penyerang Leeds dan Liverpool itu tumpas di tangan Al-Ain kendalian Hernan Crespo dalam dua aksi final Liga Juara-Juara Asia tetapi Yokohama bertindak buruk dalam Liga-J apabila menghuni tangga ke-12 dalam liga 20 pasukan itu.
Yokohama berkata, pengendali dari Australia itu dipecat berkuat kuasa serta-merta dan penolong jurulatih yang juga warga Australia, John Hutchinson akan mengambil alih secara sementara.
Kewell menyertai Yokohama pada awal tahun ini dalam hentian terkini karier kejurulatihan yang gagal menyamai kejayaannya sebagai pemain.
Pengendali berusia 45 tahun itu bergelut dalam liga bawahan Inggeris bersama Crawley Town, Notts County dan Oldham dan beliau dipecat oleh kelab divisyen lima Barnet pada 2021 selepas gagal menang dalam tujuh perlawanan pertamanya.
Nasibnya kelihatan berubah apabila berjaya mengemudi Yokohama ke final Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama.
Namun beliau gagal mengekalkan kecemerlangan dalam liga dengan hanya menang lapan daripada 23 aksi Liga-J, kalah 10 dengan lima kali seri.
Kewell menggantikan warga senegara Australia, Ange Postecoglou dan Kevin Muscat sebagai jurulatih Yokohama. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252