Nur Farah Kartini dipercayai dibunuh, mayat ditemui di Felda Gedangsa

Jenazah Kartini dijangka dibawa pulang ke Miri

SUNGAI BULOH – Jenazah mangsa pembunuhan, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dijangka dibawa pulang ke Kampung Lereng Bukit, Miri Sarawak untuk dikebumikan.

Perkara itu dimaklumkan abang mangsa, Mohd Farriza Azmi Abdullah ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir pengurusan jenazah belum diputuskan memandangkan ahli keluarga masih menunggu keputusan ibu Allahyarham sendiri.

Menurut Mohd Farriza, ibunya dijangka tiba dari Miri pada malam ini.

Bedah siasat mangsa dijadualkan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian.

Sementara itu, bekas kakak ipar mangsa, Nor Amidah Mohd Ali, 36, yang ditemui berkata, kali terakhir dia menghubungi Nur Farah Kartini pada 5 Jun lalu.

“Ketika itu dia memaklumkan kepada saya dia tercicir dompetnya, saya tanya hilang kat mana, tapi tiada jawapan daripadanya,” katanya ketika ditemui di HSB.

Menurutnya lagi, walaupun sudah berpisah dengan suaminya, namun hubungan dia dengan Nur Farah Kartini sangat baik memandangkan mangsa adalah satu-satunya anak perempuan bongsu daripada tujuh beradik.

“Dia sorang sahaja anak perempuan dalam keluarga dan seorang yang sangat bertanggungjawab.

“Selepas tamat pengajian tahun lalu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dia nekad bekerja sambilan di Semenanjung untuk membantu ibu dan neneknya di kampung,” katanya.

Katanya, dia berasa amat terkejut apabila mendapat khabar penemuan mayat Nur Farah Kartini malam tadi yang dipercayai menjadi mangsa bunuh.

Terdahulu, media melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemui petang semalam, dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Mayat mangsa ditemui di ladang sawit di Kampung Sri Kledang, tidak jauh dari Felda Gedangsa di Hulu Selangor, pada jam 6 petang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata, pemeriksaan awal mengesahkan mayat berkenaan adalah gadis yang dilaporkan hilang berkait laporan orang hilang di Tanjung Malim.

Katanya, polis turut menahan seorang penjawat awam lelaki berusia 26 tahun, semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nur Farah Kartini dilaporkan gagal dikesan selepas dipercayai menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di sekitar kawasan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.

Laporan polis kemudian dibuat atas kehilangan mangsa yang juga bekas penuntut UPSI pada jam 1.56 pagi, 10 Julai lalu.

Kehilangan mangsa disedari selepas dia gagal masuk ke pejabat dan kali terakhir dilihat memakai baju korporat warna biru denim, bertudung dan berseluar hitam.

Sebak, tapi saya perlu teruskan juga baca berita

“Sebak, tapi saya kena teruskan baca berita juga.

Demikian kata Pembaca Berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Anas Muhammad Farihin, 25, ketika ditugaskan membaca berita kematian sahabatnya, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, tengah malam tadi.

Anas berkata, dia terkejut dan masih tidak percaya ketika mengetahui berita berkenaan.

“Kebetulan semalam memang giliran saya baca berita. Sewaktu dapat tahu berita itu kira-kira jam 9 malam, terduduk sekejap. Perasaan ketika itu bercampur baur antara percaya, betul atau tidak sehinggalah keluar kenyataan daripada pihak polis yang mengesahkan kejadian itu.

“Diakui apabila baca berita itu memang sebak, tapi kena tahan. Waktu ini emosi saya perlu dijaga, ekspresi perlu dikawal. Apatah lagi saya menjadi antara orang pertama yang tahu berita ini.

“Lagi pula, ketika berita kehilangan Faa (Nur Farah Kartini) saya bersama rakan UPSI membuat bacaan tahlil secara dalam talian. Tidak menjangka ia berakhir dengan tragedi pilu,” katanya.

Menurutnya, Nur Farah Kartini seorang rakan yang baik, sopan santun dan sentiasa tersenyum.

“Kami mula berkawan ketika menuntut di UPSI. Kami satu pasukan pada setiap kali minggu orientasi pelajar baharu sepanjang tiga tahun. Walaupun saya senior dia, tapi kami sebaya.

“Dia seorang yang baik, sopan santun dan sentiasa tersenyum. Lagi satu, dia juga aktif dalam persatuan di UPSI dan kami selalu bekerjasama. Pendek kata, dia seorang yang berdedikasi dalam kerja,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *