Lelaki terkejut dapat amaran, cermin sisi patah akibat tersalah parkir di PPR

Pemilik Kancil terkejut dapat amaran, cermin sisi patah akibat tersalah parkir di PPR

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bingung apabila keretanya bukan saja dirosakkan disebabkan tindakannya meletakkan kenderaan di simpang tiga kawasan projek perumahan rakyat (PPR) dekat Selangor, tetapi turut menerima nota amaran daripada individu tidak bertanggungjawab.

Selain gambar menunjukkan cermin sisi keretanya dipatahkan, lelaki itu turut memuat naik sekeping nota amaran disyaki daripada individu yang membuat khianat menerusi sehelai tisu.

“Lain kali jangan parking dekat sini kalau sayang kereta. Kalau orang lain tak parking. janganlah pandai-pandai ‘park’ sini. Amaran pertama,” demikian nota yang ditulis di atas tisu ditinggalkan di cermin keretanya.

Bercerita lebih lanjut, lelaki itu mendakwa masalah ketiadaan parkir membuatkannya tiada pilihan hingga terpaksa meletakkan kenderaannya dengan cermin sisinya ditutup dan brek tangan diturunkan supaya keretanya boleh digerakkan sekiranya menghalang kenderaan keluar masuk simpang.

Lelaki itu mendedahkan dia menumpang di rumah kakaknya di perumahan itu selepas ibunya meninggal dunia dan mendakwa kenderaannya terpaksa diletakkan di situ disebabkan parkir penuh.

Namun, keesokan pagi dia berhasrat mengalihkan kenderaannya sebelum bergerak ke tempat kerja menggunakan pengangkutan lain, tetapi sekitar perumahan itu masih tiada ruang kosong untuknya berbuat demikian.

“Saya bukanlah orang kaya, hanya pakai kereta buruk Kancil. Menumpang rumah kakak selepas kematian mak saya dua minggu lalu.

“Jadi, saya orang baharu di situ. Malam tadi puas saya mencari parking membuatkan saya terpaksa meletak kenderaan di tepi simpang tiga.

“Cermin sisi saya lipat dan brek tangan diturunkan sekiranya ia mengganggu lalu lintas, kereta saya boleh tolak ke depan,” kongsinya.

Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik di Facebook semalam, lelaki itu berkata, dia membiarkan keretanya di situ sehingga kira-kira jam 10 malam tadi, sebelum kembali ke tempat kenderaannya untuk mengalihkan ke tempat lain.

“Kalau saya salah (parking tempat orang), mungkin tuannya boleh beritahu dalam kumpulan sembang penduduk WhatsApp (PPR berkenaan).

“Dalam group WhatsApp PPR tu ada kakak, abang ipar dan jiran kampung saya. Apa patut saya buat? Kereta ini saya guna ulang-alik bawa mak ke hospital sampai (sehingga) dia pergi (meninggal dunia),” katanya dengan nada kesal.

Timbul persoalan sama ada cara parkirnya menghalang laluan, namun dia mendedahkan ada ruang lagi untuk kenderaan lain melalui jalan itu.

“Sebelum saya tinggalkan kereta di situ, memang masih ada ruang lagi kalau kereta nak membelok. Mungkin sebab saya pakai Kancil buruk, terus patahkan tanpa beritahu dalam grup WhatsApp,” jawabnya di ruangan komen.

Susulan perkongsiannya tular di Facebook, netizen menyifatkan kejadian menimpa pemuda itu satu perbuatan khianat dan berbaur ugutan.

Mereka meminta pemuda itu untuk membuat laporan demi keselamatan peribadi.

Penghuni PPR mentaliti rendah?

Seorang pengguna dikenali sebagai Farhan An berkata, keadaan itu menggambarkan situasi sebenar penghuni PPR yang bermentaliti rendah seperti didakwa seorang pensyarah universiti.

“Makin lama hidup (merentasi masa), makin (semakin) betul (pandangan) pensyarah yang mengakui dia tidak boleh hidup dengan B40 sebab mentaliti. Benar kata beliau,” katanya.

Selain itu, pemilik akaun Kasman Kamis, meminta dia berdoa supaya pelaku yang menganiaya kenderaannya dibukakan hati.

“Ya Tuan. Berdoalah kepada Allah semoga terbuka hati orang yang aniaya kereta tuan. Dan (perbuatan itu) menjadi pengajaran supaya parkir di tempat lebih sesuai di kali kali,” katanya.

Seterusnya, Mat Gerard meminta mangsa membuat laporan kerana jelas ia nota ugutan dengan tertera perkataan amaran pertama.

Pendapat itu disokong Firdaus Zed Roslan, sambil menjelaskan ia sememangnya realiti penghuni memiliki banyak kenderaan tanpa sedar tinggal di perumahan sempit.

“Buat laporan polis terus. Orang flat ini semua jenis mementingkan diri. Satu satu rumah ada enam kereta, semua mahu parkir dekat-dekat,” katanya.

Bagi Lienda Hamid, mengusulkan mangsa supaya memeriksa rakaman kereta pemuka yang berada berhampiran untuk menjejaki pelakunya.

“Masuk dalam group WhatsApp, periksa kamera litar tertutup (CCTV), dashcam dan buat laporan polis. Zaman sekarang, jangan takut, lawan balik! Ambil tindakan,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *