PADA tahun 1350-an, seorang tokoh agung Islam berketurunan ahlul bait, iaitu keturunan Nabi Muhammad SAW telah tiba ke kawasan ini untuk berdakwah menegakkan Islam. Sepanjang misi dakwahnya Sayid Hussin Jamadil Kubro telah mengahwini tiga puteri keluarga diraja Serendah Sekebun Bunga atau Empayar Cermin-Pattani yang ketika itu ibu kotanya bernama Jiddah (yang terletak tiga batu dari Bukit Panau, Kelantan).
Jiddah bermaksud permata. Perkahwinan ini berlaku dalam kerajaan yang disinggahnya, sebagai tanda penerimaan raja-raja yang memerintah terhadap dakwah Islamiah yang dijalankannya. Ini juga merupakan tanda jalinan hubungan silaturahim sesama umat Islam. Hubungan ini juga melahirkan pertalian darah pendakwah Islam ini dengan kerajaan Melayu di seluruh Kepulauan Melayu.
Malah, melalui perkahwinan ini, pertalian kerabat dan kerajaan antara mereka menjadi lebih kukuh dan saling kait mengait. Daripada zuriat mereka, lahir tokoh-tokoh ulama dan pemerintah-pemerintah agung Islam di Alam Melayu ini.
Dalam pelayaran menuju ke Empayar Cermin-Jiddah dari Samudera-Pasai, rombongan Sayid Hussin Jamadil Kubro mendapat beberapa ujian besar dari Allah SWT. Dalam pelayaran itu, sebelum sempat mendarat, kapal mereka telah hampir karam di laut berikutan dipukul ombak dan dibadai puting beliung serta taufan yang ganas.
Dalam keadaan yang cemas dan genting itu, setelah membuat solat hajat, Sayid Hussin Jamadil Kubro telah bernazar untuk mendirikan sebuah masjid jika terselamat dari bencana itu. Akhirnya doa itu dimakbulkan Allah SWT. Dengan izin-Nya, sekumpulan ikan kekacang telah datang secara tiba-tiba menutupi lubang-lubang kapal yang bocor.
Ikan-ikan bersaiz besar pula (ikan kekacang boleh membesar sampai ke saiz sebatang tiang elektrik) menolak kapal itu ke daratan sehingga selamat mendarat di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan. Sayid Hussin Jamadil Kubro terus sujud syukur dan bersembahyang sunat dua rakaat bersama pengikutnya yang lain sebagai tanda kesyukuran atas bantuan Allah SWT.
Beliau dan angkatannya berasa amat letih, dahaga dan kelaparan. Tiba-tiba satu petunjuk dari Allah SWT melalui makhluknya tupai putih yang tiba-tiba terlonjat-lonjat di hadapannya dan akhirnya berlari ke serumpun pohon buluh betong, lalu memakan umbut atau rebungnya, tanpa apa-apa masalah.
Lantaran itu, Sayid Hussin Jamadil Kubro dan anggota rombongannya pun terus memakan umbut buluh betong itu untuk menghilangkan kelaparan. Setelah berasa kenyang, Sayid Hussin Jamadil Kubro telah mewasiat dan bersumpah supaya zuriat keturunannya tidak boleh lagi memakan ikan kekacang dan rebung buluh betong sebagai satu tanda syukur atas pertolongan Allah SWT yang diberikan kepada mereka.
Susulan dari peristiwa itu, bagi memenuhi niatnya, maka Sayid Hussin Jamadil Kubro telah mendirikan sebuah masjid di Kampung Laut yang dikenali sebagai “Masjid Kampung Laut”. Masjid ini merupakan antara masjid yang tertua di Malaysia dan sentiasa dibaikpulih selepas mengalami beberapa kerosakan akibat keuzuran kerana usianya dan bencana alam yang menimpanya sehingga kini.
Selepas menyempurnakan pembinaan Masjid Kampung Laut yang diperbuat dari kayu itu, Sayid Hussin Jamadil Kubro pun terus mudik ke hulu sungai sehinggalah rombongannya bertemu dengan sebuah bukit yang dinamakan Bukit Panau. Mereka lalu membuat khemah di situ.
Mereka telah bersembahyang dan berzuhud sehingga ke tengah malam. Tiba-tiba penduduk kampung terdengar satu dentuman kuat dan kelihatan cahaya yang berkilau-kilauan membelah kepekatan malam. Cahaya itu datang dari rombongan Sayid Hussin Jamadil Kubro yang sedang berzuhud di atas Bukit Panau itu.
Cahaya yang berkilat itu berbentuk seolah seperti tudung saji di angkasa malam yang pekat itu, yang kelihatan sangat cantik dan berkilat-kilat di angkasa raya. Orang ramai yang melihatnya sangat terpegun dan bercerita sesama sendiri mengenai hal itu. Akhirnya sebutan kilat atau kilatan dari mulut orang ramai itu dikatakan telah melahirkan perkataan Kelantan, iaitu nama negeri Kelantan yang ada pada hari ini.
Perkahwinan Sayid Hussin Jamadil Kubro dengan Puteri Linang Cahaya (adinda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I)
Kedatangan Sayid Hussin Jamadil Kubro dan adindanya disambut baik oleh Raja Bharubhasa, pemerintah Empayar Cermin-Jiddah. Baginda bersyukur kerana seorang ulama yang terkenal akan menyebarkan Islam di empayarnya.
Istananya menjadi tempat mempelajari agama Islam dengan sepenuhnya. Baginda juga berkenan mengahwinkan adindanya Puteri Linang Cahaya dengan Sayid Hussin Jamadil Kubro.
Puteri Linang Cahaya ialah adinda kepada Cik Siti Wan Kembang I. Pernikahan Sayid Hussin Jamadil Kubro dan Puteri Linang Cahaya telah melahirkan dua cahaya mata, iaitu Maulana Malik Ibrahim dan Siti Aisyah. Anak sulung mereka, Maulana Malik Ibrahim, yang kemudiannya bergelar Sunan Gresik ialah pelopor dan ketua Wali Songo Pulau Jawa.
Wali Songo ialah kumpulan ulama yang tersohor di Kepulauan Melayu. Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat, maulana Malik Ibrahim ialah anak Sayid Hussin Jamadil Kubro dengan seorang isterinya di India.
Perkahwinan Sayid Hussin Jamadil Kubro dengan Puteri Ramawati Campa (cucu saudara Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I)
Kira-kira pada tahun 1355, Sayid Hussin Jamadil Kubro berkahwin pula dengan Puteri Ramawati, iaitu cucu saudara Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I yang merupakan puteri Raja Campa, anakanda Sultan Zainal Abidin, Campa. Dari perkahwinan itu lahirlah seorang ulama terulung iaitu Sayid Ibrahim Asmaro dan dari keturunan Sayid Ibrahim Asmaro ini lahirlah Maulana Rahmatullah (Sunan Ampel) dan Maulana Ishak.
Mereka ini kemudian meninggalkan Campa dan berhijrah ke Pattani sebelum ke Pulau Jawa. Mereka melahirkan sebahagian besar Wali Songo seperti Sunan Giri, Sunan Muria, Sunan Lamongan, Sunan Bonang, Sunan Kudus dan Sunan Drajat.
Perkahwinan Sayid Hussin Jamadil Kubro dengan Puteri Selindung Bulan (cucu saudara Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I)
Perkahwinan Sayid Hussin Jamadil Kubro dengan Puteri Selindung Bulan iaitu anakanda Sultan Baqi Shah, yang juga anakanda Raja Bharubhasa, kekanda Cik Siti Wan Kembang I berlaku sewaktu umurnya hampir 80 tahun, iaitu pada tahun 1390.
Sayid Hussin Jamadil Kubro telah menukarkan nama isterinya kepada Puteri Shahira. Daripada perkahwinan mereka, lahirlah Sayid Ali Nurul Alam yang dilantik sebagai Patih Aria Gajah Mada pada tahun 1366 bagi kerajaan Majapahit II, yang bertempat di Kelantan. Di Pattani, Sayid Ali Nurul Alam terkenal dengan nama Sultan Qunbul setelah dilantik menjadi Sultan Pattani.
Selepas pemerintahan Majapahit yang terkenal iaitu Perabu Gusti Hayam Wuruk dan perdana menterinya, Patih Gajah Mada meninggal dunia, Empayar Majapahit telah terbahagi dua. Majapahit I terdiri datipada Majapahit Kepulauan (Jawa, Kalimantan, Mindanao dan Sulawesi) yang diperintah oleh Ratu Suhita.
Majapahit II pula, Majapahit Daratan (Sumatera, Semenanjung Emas – Tanah Melayu, Campa dan Segenting Kra). Empayar Majapahit II berpusat di Kota Mahligai, Kelantan. Bagaimanapun, makam Sayid Ali Nurul Alam terletak di Garak Rawain, Pattani.
Sayid Ali Nurul Alam telah dikurniakan tiga putera iaitu Wan Hussein, Wan Abu Abdullah@Wan Bo Teri dan Wan Alimuddin/Wan Demali/Raja Laksamana Bentan. Dengan itu, Sayid Ali Nurul Alam telah mempeloporkan gelaran Wan pada anak cucu keturunannya.
Gelaran Nik dan Long pula dimulakan kepada zuriat Wan Abdul Muzaffar Walilulah/Wan Abu Abdullah(?), yang menjadi pemerintah kerajaan Campa dari Dinasti Ahlul bait (1471-1478). Beliau juga menjadi moyang bagi keturunan yang mewarisi kerajaan Pattani dan Kelantan.
Putera Sayid Ali Nurul Alam yang bernama Wan Hussin pula bertanggungjawab mengasaskan sistem pondok di Pattani. Putera ketiga Sayid Ali Nurul Alam yang bernama Wan Alimuddin/Wan Demali/Raja Laksamana Bentan pula dihantar berdakwah ke kawasan Johor-Riau (Pulau Bentan). Dari sinilah Wan Demali mendapat jolokan Raja Laksamana Bentan.
Generasi Wan Abu Abdullah/Wan Bo Teri telah berjaya menegakkan dua kerajaan Islam Banten dan Ceribon. Anaknya, Syarif Hidayatullah/Sunan Gunung Jati telah dapat menyempurnakan cita-cita datuknya Sayid Hussin Jamadil Kubro.
Kejayaan para wali dalam perjuangan dakwah mereka mencapai tahap yang gilang gemilang sehingga Indonesia lahir sebagai sebuah negara yang majoritinya beragama Islam. Ternyata adinda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I, Puteri Selindung Bulan, telah melahirkan pemerintah dan pendakwah Alam Melayu yang terkenal.
Perkahwinan Sayid Hussin Jamadil Kubro dengan Puteri Jauhar (kerabat Diraja Johor)
Perkahwinan Sayid Hussin Jamadil Kubro dengan Puteri Jauhar, telah dikurniakan beberapa cahaya mata. Antaranya, Syarif Muhammad Kebongsuan yang kemudiannya terkenal sebagai pembangun Kesultanan Mindanao/Sulu. Abangnya, Syarif Muhammad Berkat menjadi Sultan Brunei yang ketiga bergelar Sultan Berkat, iaitu moyang Raja-raja Brunei sekarang.
Sultan Brunei telah membina sebuah masjid yang cantik dan besar di gigi tasik Danau To’ Uban, Kelantan, sedangkan tempat ini sangat terpencil. Penduduk Kelantan sendiri ramai tidak tahu kewujudan tasik yang agak luas sayup mata memandang ini. Pembinaan ini mungkin untuk mengenangkan kerajaan lama Islam yang telah disinggahi oleh Sayid Hussin Jamadil Kubro sebagai pendakwah ke rantau ini.
Perkahwinannya dengan Puteri Jauhar anakanda Tun Hamzah, Bendahara Seri Bija Diraja, Kesultanan Johor lama (Melaka) itu telah melahirkan Sultan Berkat, Sultan Brunei ketiga.
Melalui perkahwinan Sayid Hussin Jamadil Kubro dengan empat puteri di Kepulauan Melayu atau Alam Melayu ini, ternyata banyak kehebatan telah berlaku. Pertama, ialah keturunan Nabi Muhammad SAW ini telah menjadi pencetus dan pendakwah syiar Islam yang agung. Beliau telah berjaya memperkukuh pengislaman kerajaan-kerajaan Melayu yang bertaburan di seluruh ceruk rantau, bukan sahaja di Segenting Kra, tetapi juga di Campa, Tanah Melayu, Pulau Jawa dan Brunei.
Kedatangan Islam memang telah berlaku di tempat-tempat lain oleh pendakwah lain. Banyak kerajaan Melayu-Islam telah muncul di Sumatera dan di sebelah barat Tanah Melayu. Kesultanan Melayu Melaka ialah empayar yang terbesar dan kukuh pengislamanannya berpunca dari Perlak-Pasai.
Namun, bagi kawasan sebelah timur dan di utara, pengaruh dan serangan Siam terlalu kuat; kerajaan-kerajaannya seperti Grahi, Langkasuka, Empayar Cermin, Majapahit II, Pattani dan Kelantan sentiasa menjadi makanan kuasa Siam Sukhotai dan Ayudhia. Bagaimanapun, perkahwinannya dengan tiga puteri diraja dari keturunan Raja Shah Tawal (Sultan Muhammad), telah menjadikan pergerakan keislaman di rantau itu dapat diperkukuh.
Tambahan pula Siam tidak lagi begitu giat melaksanakan penjajahannya selepas kurun ke-15. Keamanan itu membolehkan dakwah Islam berjalan dengan baik di istana-istana kerajaan Melayu itu. Melalui pengukuhan keturunannya itu, telah muncul sekumpulan pendakwah dan pemerintah yang berteraskan Islam di seluruh Alam Melayu.
Hanya kerajaan Campa yang tidak dapat bertahan daripada serangan orang Viet sehingga Campa kini tidak lagi terdapat dalam peta, kini dikenali sebagai Vietnam.
Perkahwinan ini juga menjadi tali pengikat keturunan, budaya dan agama orang Melayu yang kukuh sehingga hari ini. Walaupun penjajah barat dan timur silih berganti datang dan memusnahkan kerajaan lama itu, kecuali di Tanah Melayu (Malaysia Barat) dan Brunei Darussalam, namun ikatan darah dan persaudaraan itu tidak dapat dihapuskan.
Sejarah tetap dibaca untuk memahami yang lepas. Sejarah tetap dirujuk bagi mencari kebenaran dan tali temali yang menyimpulkannya. Maka, dalam pencarian hakikat itu, timbullah hubungan yang membawa pengertian yang jelas kepada generasi hari ini.
Kak Lah (Fadzillah Hussin – Yang Dipertua Pertubuhan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia) ternyata cuba membetulkan dirinya, mencari tali temali keluarganya dan akhirnya menemui jawapannya. Dengan izin Allah SWT, dia berjumpa maknikam yang dirinduinya.
Usaha dakwah
Pada tahun 1350-an, Sayid Hussin Jamadil Kubro tiba di Kelantan bersama adiknya Syeikh Thanauddin dalam menjalankan misi dakwahnya. Dari Kelantan, Sayid Hussin Jamadil Kubro telah bergerak ke Tanah Jawa dan kemudiannya menyerahkan tugas dakwah di Jawa itu kepada anaknya, Maulana Malik Ibrahim, yang berdakwah di Gresik, Jawa Timur.
Pada awal kurun ke-15, Ibrahim Asmaro dihantar oleh ayahnya Sayid Hussin Jamadil Kubro ke Jawa bagi membantu serta menyambung usaha dakwah abangnya Maulana Malik Ibrahim yang telah meninggal dunia pada tahun 1419. Beliau dimakamkan di Gresik, Tuban. Sebelum itu, Sayid Hussin Jamadil Kubro sendiri telah bergerak ke Sulawesi dan mengislamkan Raja Lamdu Salat pada tahun 1380. Beliau terus menetap di situ menyebarkan dakwah Islam.
Sebagai membuka tirai dakwah Islam di bumi Jawa, anak Sayid Hussin Jamadil Kubro, Maulana Malik Ibrahim telah muncul sebagai perintis atau pelopor yang memberikan laluan kepada wali-wali yang datang kemudiannya. Dengan tidak ada perbezaan kasta dan darjat seruan dakwahnya lebih disenangi dalam kalangan kasta-kasta Vaisya dan Sudras.
Maulana Malik Ibrahim kemudiannya digantikan oleh anak saudaranya, Maulana Rahmatullah yang memakai gelaran Sunan Ampel. Jika Maulana Malik Ibrahim dianggap sebagai pencipta pondok yang pertama, maka Maulana Rahmatullah ialah perancang negara Islam yang pertama di Pulau Jawa.
Maulana Ishak turut membantu abangnya dalam usaha dakwah. Anak kepada Maulana Ishak iaitu Raden Paku/Maulana Muhammad Ainul Yaqin (Sunan Giri) telah membangunkan Giri sebagai pusat dakwah yang terawal di Jawa dan berjaya menegakkan kerajaan Islam di Demak. – NasionalDaily
BERSAMBUNG