BERITA UTAMA
Daurah Hadis 40 Imam Nawawi, iltizam KPM untuk tingkatkan penghayatan guru

Daurah Hadis 40 Imam Nawawi, iltizam KPM untuk tingkatkan penghayatan guru

KANGAR – Kementerian Pendidikan (KPM) julung kalinya menganjurkan Daurah Hadis 40 Imam Nawawi Peringkat Kebangsaan 2024 dalam usaha memartabatkan dan meningkatkan penghayatan guru terhadap hadis itu sekali gus menjadi rujukan pelajar Islam bagi membentuk sahsiah diri.

Penganjuran Daurah Hadis 40 Imam Nawawi yang berlangsung di sini selama tiga hari bermula Selasa merupakan kerjasama dengan beberapa pihak termasuk Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program itu juga bagi berkongsi pandangan dan menambah baik Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang telah disiapkan KPM untuk dihayati guru kemudian diajar kepada pelajar Islam di sekolah masing-masing.

“Pelaksanaan program ini sangat penting bagi memastikan penghayatan terhadap Hadis 40 Imam Nawawi dapat dilaksanakan dan diterjemahkan dengan lebih baik dalam kalangan murid.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama beberapa pihak seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Perlis, JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan JAIPs (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis) daurah ini akan diisi dengan pelbagai ceramah (oleh beberapa) ahli akdemik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program berkenaan, di sini, pada Selasa yang turut disertai Mufti Perlis, Prof Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Fadhlina berkata, peserta daurah terdiri daripada wakil sekolah yang akan berperanan sebagai jurulatih untuk membimbing ustaz dan ustazah di sekolah masing-masing selepas ini bagi memastikan penghayatan terhadap hadis berkenaan dapat direalisasikan.

Sementara itu, Mohd Asri pada sidang akhbar yang sama berkata penganjuran daurah itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk mendengar kepelbagaian pandangan dalam usaha membantu ke arah keberkesanan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Mufti Perlis itu berkata, beliau percaya sekiranya penghayatan hadis itu berjalan dengan baik dan menjadi legasi pendidikan, ia akan menjadi satu daripada sumbangan terbesar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bidang pendidikan di negara ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri (Pendidikan) dan kerajaan atas kesudian memilih Perlis sebagai satu daripada tempat untuk membahaskan Hadis 40 ini…selepas ini saya pasti KPM akan buat di tempat lain, dengan itu maka ada kepelbagaian pandangan untuk membantu ke arah keberkesanan penghayatannya.

“Saya percaya kalau hadis ini berjalan dengan baik dan menjadi satu legasi dalam pendidikan, ia akan jadi satu sumbangan terbesar oleh Perdana Menteri kerana Hadis 40 Imam Nawawi ini tidak ada orang boleh menolaknya,” katanya.

Sementara itu, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak kementerian telah menyiapkan 44 sekolah untuk siri jelajah bagi penghayatan hadis tersebut di seluruh negara dan sekolah tersebut akan menjadi rujukan bagi pelaksanaan aktiviti penghayatan hadis berkenaan di peringkat negeri.

“Ia melalui iklim sekolah berteraskan Hadis 40 Imam Nawawi, pelaksanaan inovasi dan perkongsian amalan terbaik serta memanfaatkan teknologi digital dalam membudayakan aktiviti penghayatan hadis berkenaan.

“Aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi sememangnya sedang giat dilaksanakan di semua institusi pendidikan KPM,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM pelaksanaan penghayatan hadis itu bertepatan dengan konsep kemuliaan insan yang mementingkan aspek adab, akhlak, nilai manusiawi dan integriti dalam kehidupan seharian.

“Pelaksanaan ini juga adalah cerminan komitmen besar KPM untuk memartabatkan syiar Islam dan pada masa sama melahirkan modal insan yang berilmu, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia,” menurut KPM.

Menurut kenyataan itu Perdana Menteri dalam Muzakarah Ulama dan Umara sempena Festival Turath Islami Selangor 2023 pada 25 Mei 2023 memaklumkan kerajaan akan mengambil inisiatif menerbitkan semula himpunan Hadis 40 Imam Nawawi untuk diedarkan ke seluruh sekolah. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *