Mangsa nahas kayu balak patah tulang rusuk, cedera hati, usus

Mangsa nahas kayu balak patah tulang rusuk, cedera hati, usus

GUA MUSANG – Seorang jurujual wanita yang mengalami kecederaan dalaman selepas dihempap kayu balak dari sebuah lori di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, di sini semalam ditidurkan untuk menjalani prosedur pembedahan.

Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, kini berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dan masih dalam pemantauan rapi doktor selepas bahagian tulang punggung dan tulang rusuk patah akibat ditimpa batang balak pada bahagian belakangnya.

Selain itu, wanita itu juga mengalami kecederaan serius pada bahagian hati, limpa, hempedu dan usus.

Abang mangsa, Mohamad Azwa, 28, berkata, adiknya ditidurkan kira-kira jam 6 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut dan dalam pengawasan doktor.

“Doktor memaklumkan akan buat pembedahan pada bahagian tulang belakang, punggung, tulang rusuk, hati, limpa, paru-paru dan hempedu yang mengalami luka teruk.

“Doktor ketika ini sedang merawat bahagian usus. Buat masa ini, semangat adik saya sangat kuat apabila dia tengah lawan sakitnya. Meskipun ditidurkan, Siti Norelyana masih memberi tindak balas positif pada bahagian kaki dan tangannya,” katanya dipetik Kosmo.

Mohamad Azwa memberitahu, dia tidak menyangka adiknya adalah mangsa kemalangan selepas melihat rakaman video papan pemuka (dashcam) yang tular di media sosial semalam.

Katanya, seluruh ahli keluarganya mengharapkan keajaiban dan memohon doa daripada orang ramai untuk kesembuhan Siti Norelyana.

“Mengikut perancangan, dia akan melangsungkan perkahwinan pada Disember ini.

“Saya berharap apa yang dia impikan selama ini tercapai dan meminta doa orang ramai untuk kesembuhan adik,” jelasnya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang wanita terselamat dari ajal selepas motosikal yang dia tunggang dihempap muatan kayu balak dari sebuah lori ketika melalui selekoh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, penyambung atau cakera putar (turntable) pada lori tiba-tiba patah ketika melalui selekoh dipercayai menjadi punca kayu balak terjatuh dan tergolek sebelum menghempap seorang penunggang wanita. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *