KUALA LUMPUR – Kekalahan teruk calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap malam ini, menunjukkan sikap luar biasa pengundi Melayu kawasan itu.
Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, kekalahan calon PH itu juga jelas menunjukkan orang Melayu mula sedar dengan sikap hipokrit dan retorik kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pengundi Melayu dalam DUN Sungai Bakap telah menunjukkan sikap luar biasa dan mula sedar. Setiap kebendaan dan wang ringgit yang ditabur, mereka ambil. Tapi, undi calon Perikatan Nasional (PN).
“Begitu juga anak-anak diberi topi kelendar secara percuma, tapi mereka tidak undi PH. Beri beras pun mereka ambil dan masak, tapi tak undi PH. Ini yang dikatakan luar biasa dan Melayu mula sedar.
“Pengundi Cina pula dikatakan protes tidak keluar mengundi kerana mereka mahu calon dari PKR itu kalah dan ia adalah sebahagian daripada strategi agar Anwar dan parti itu tunduk kepada tekanan DAP pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan kepada media, malam ini.
Beliau mengulas keputusan PRK Sungai Bakap yang memihak kepada calon PN, Abidin Ismail yang menang dengan majoriti lebih besar menewaskan Dr. Joohari
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim mengumumkan kemenangan Abidin, 56, yang memperoleh 14,489 undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi, malam ini.
Dr. Joohari pula mendapat 10,222 undi iaitu kalah dengan 4,267 majoriti berbanding penyandang sebelum ini, Allahyarham Nor Zamri Latif menang dengan majoriti 1,563 undi, mengalahkan pencabarnya dari PH, Nurhidayah Che Ros pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu.
Menurut Dr. Ibrahim, Anwar kini dilihat sudah sampau ke tahap yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran dalam mengejar perjuangan dan matlamat diri.
“Menjadi perdana menteri yang terlampau pandau dan terlebih cerdik pun tak boleh juga. Dulu dia kencing orang, sekarang rakyat kencing dia.
“Kepada Anwar, jangan ingat orang Melayu tidak faham isu syarikat pro-Israel Blackrock. Jangan ingat orang Melayu, Cina dan India tidak marah harga diesel naik RM1.20 sen menjadikan RM3.25 sen seliter dan jangan ingat orang Melayu tidak marah apabila UMNO bekerjasama dengan DAP.
“Orang Melayu, Cina dan India marah Anwar dan benci kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ada 47 kes, tetapi diberikan DNAA,” katanya.
Beliau yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas yang dipecat keahlian turut menegaskan, parti itu sidah terkubur dan bersemadi di tanah perkuburan Sungai Bakap.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252