BERITA UTAMA
Rasuah projek lebuh raya: SPRM tahan dua lagi individu

Rasuah projek lebuh raya: SPRM tahan dua lagi individu

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu iaitu pengerusi sebuah syarikat dan pengarah syarikat subkontraktor bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai lebih RM1 bilion membabitkan projek lebuh raya di Lembah Klang.

Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Pengerusi syarikat bergelar Datuk itu direman hingga 6 Julai manakala pengarah syarikat subkontraktor direman hingga 4 Julai.

Sumber memaklumkan kedua-dua suspek ditahan antara 9 malam hingga 12 tengah malam tadi selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Mereka disyaki telah memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan syarikat lain.

“Mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai-pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan sama,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim semasa dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau turut mengesahkan semua suspek yang ditahan berkaitan siasatan kes itu sebelum ini telah dilepaskan semalam selepas tamat tempoh reman termasuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat konsesi lebuh raya dengan jaminan RM150,000. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *