Kekalkan tahap jika mahu ke final - Koeman

Kekalkan tahap jika mahu ke final – Koeman

MUNICH – Belanda perlu mengekalkan tahap persembahan yang mereka pamerkan ketika menang 3-0 ke atas Romania pada pusingan 16 terakhir Euro 2024 jika mereka mahu merangkul kejuaraan tahun ini, menurut jurulatih Ronald Koeman, yang berkata persembahan yo-yo mereka sukar untuk dijelaskan.

Gol daripada Cody Gakpo dan pemain gantian Donyell Malen, yang meledak dua gol, membantu kemenangan dalam perlawanan yang dikuasai Oranje dari mula dan patut menambah gol lagi.

Ia jauh berbeza berbanding persembahan hambar pada aksi mereka sebelum ini, kekalahan 3-2 di tangan Austria pada aksi terakhir peringkat kumpulan seminggu lalu.

“Kadang-kadang sukar untuk menyatakan kenapa anda bermain buruk dalam satu perlawanan dan kemudian boleh mencapai tahap tinggi pada perlawanan berikutnya,” kata Koeman kepada wartawan.

“Kami begitu tajam sejak mula hari ini dan ia mencetus perbezaan. Mungkin agak kritikal adalah kami mengambil masa terlalu lama untuk menyumbat gol kedua.”

Belanda berdepan sama ada pertemuan semula dengan Austria atau bertembung dengan Turkiye pada suku akhir awal pagi Ahad ini dan Koeman percaya serangan mereka di kedua-dua sayap dan persembahan mantap di tengah oleh Xavi Simons menjadi kunci kemenangan itu.

Jika mereka mahu layak ke final di Berlin pada 14 Julai ini, mereka tidak boleh membiarkan tahap persembahan mereka menurun sekali lagi.

“Keputusan sering kali menjadi perkara paling penting, tetapi kami orang Belanda dan negara kami perlu bermain bagus dan secara menyerang. Kami tahu mengenainya,” kata Koeman mengenai jangkaan peminat terhadap pasukan itu.

“Persembahan secara keseluruhan hari ini cemerlang dan itulah yang kami perlu lakukan untuk meneruskan saingan dalam kejohanan ini. Inilah tahapnya, jika ia menurun berbanding ini kami tidak akan layak ke final.”

Koeman berada dalam satu-satunya skuad Belanda yang menjulang trofi Euro di Jerman Barat pada 1988.

Beliau berkata sukar untuk membandingkan pasukan dari era berbeza kerana permainan itu sudah berubah. – REUTERS

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *