KOTA KINABALU – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah pada jam 4 petang ini kembali meningkat kepada 481 mangsa berbanding tengah hari tadi, iaitu 451 mangsa.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan peningkatan jumlah mangsa tersebut melibatkan PPS Dewan Kebudayaan Penampang dengan jumlah 296 mangsa dan PPS Dewan Sri Putatan dengan jumlah 138 mangsa, lapor AWANI.
Jumlah mangsa banjir bagi PPS Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh dan Dewan Balai Raya Kampung Bontoi pula kekal dengan jumlah masing-masing 29 mangsa dan 18 mangsa.
Menurut laporan JPBN juga jumlah keseluruhan mangsa banjir dewasa dan warga emas mengikut jantina adalah 162 lelaki dan 147 perempuan.
Bagi mangsa kanak-kanak dan bayi pula, masing-masing dengan jumlah yang sama mengikut kedua-dua jantina, iaitu 86 mangsa.
Sementara itu, Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat bagi semua empat PPS adalah berjumlah 147 KIR.
Setakat petang ini juga, jumlah daerah yang terjejas akibat banjir masih kekal termasuk Penampang, Putatan dan Tuaran. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252