Sultan Selangor perkenan terima menghadap Hamidin selepas 7 Julai

Sultan Selangor perkenan terima menghadap Hamidin selepas 7 Julai

SHAH ALAM – Permohonan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mendapat perkenan baginda.

Hamidin telah dimaklumkan mengenai perkara itu petang semalam melalui Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

“Saya telah mendapat panggilan telefon daripada Datuk kira-kira jam 2.30 petang Jumaat, iaitu sehari selepas saya menghantar warkah memohon perkenan mengadap tuanku Sultan Selangor.

“Tuanku Sultan Selangor telah menitahkan beliau (Munir) untuk menerima permohonan mengadap menerusi warkah yang saya utuskan ke Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada tengah hari Khamis lalu,” katanya.

Hamidin turut dimaklumkan oleh Munir bahawa Sultan Selangor akan berangkat ke Sarawak dan seterusnya mempunyai beberapa urusan rasmi lain sehingga ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H pada Ahad, 7 Julai 2024.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, berkemungkinan tarikh untuk mengadap Tuanku Sultan Selangor hanya akan diadakan selepas 7 Julai ini, sekembalinya baginda berangkat pulang dari Sarawak dan selesai urusan dan majlis rasmi yang perlu dihadiri baginda,” tambahnya.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa dan murka susulan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sultan Sharafuddin turut meluahkan rasa kecewa dan dukacita terhadap Hamidin selaku presiden FAM dan mengenalinya sejak bergelar Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari 1995 hingga 2013, selain berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor.

Ia susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 Mei 2024. – Stadium Astro

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *