KUALA LUMPUR – Seorang pelajar cedera dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah di Kajang petang semalam.
Pelajar lelaki dari tingkatan satu itu mengalami kecederaan di kepala dan badan kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Nazron Abdul Yusof berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 5.50 petang semalam.
“Siasatan mendapati pelajar lelaki berusia 13 tahun itu mengalami kecederaan selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Kajang dan dirawat dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala serta anggota badan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Nazron berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor bagi membantu siasatan,” ujarnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252