LIPIS – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Pengkalan Udara, Wilayah Utara melakukan penerbangan kecemasan menyelamatkan seorang penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dipatuk ular ketika mendaki Gunung Tahan, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Ir. Ts. Dr. Wan Mohammad Wan Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari peserta kumpulan pendaki, Siti Noraqilah Azmi, 20, mengenai kejadian di Bukit Botak, Gunung Tahan itu pada jam 6.15 petang.
“Mangsa melakukan pendakian bersama 40 pendaki lain yang turut disertai dua jurupandu, seorang staf Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia serta tiga renjer komuniti.
“Sejurus kejadian, dua anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Mocsar) Merapoh di Kem Kor, Gunung Tahan bergerak ke lokasi kejadian, manakala Pusat Operasi JPBM Pahang memohon bantuan Unit Udara,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Beliau berkata, helikopter UUB AW139 bersama lima kru dan dua pegawai perubatan diterbangkan ke lokasi kejadian.
“Pesawat tiba di Bukit Botak dan mengambil mangsa yang cedera kemudian kembali ke Bukit Bius, Lipis pada jam 9.55 pagi sebelum dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252