BERITA UTAMA
Kesunyian boleh bawa maut, strok - Kajian

Kesunyian boleh bawa maut, strok – Kajian

KESUNYIAN biasanya dikaitkan dengan kekurangan interaksi sosial atau ketiadaan orang di sekeliling seseorang.

Sindrom kesunyian ini jika dibiarkan lama ia boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan.

Menurut satu kajian, perasaan kesunyian mungkin meningkatkan risiko strok secara mendadak.

Penyelidikan oleh Universiti Harvard, di Amerika Syarikat mendapati perasaan itu boleh meningkatkan risiko 50 peratus berdepan dengan maut.

Saintis menjalankan penyelidikan kepada kira-kira 12,000 respondan berumur 50 tahun ke atas yang dilakukan antara 2006 dan 2018.

Mereka mendapati, respondan yang berdepan dengan kesunyian dalam tempoh yang lama berisiko jauh lebih tinggi mengalami strok.

Pengarang utama dari Harvard TH Chan School of Public Health, Dr Yenee Soh, berkata: “Kesunyian semakin dianggap sebagai isu kesihatan awam yang utama.

“Penemuan kami lebih menekankan mengapa itu berlaku terutama apabila dialami secara kronik. Kajian kami mencadangkan kesunyian mungkin memainkan peranan penting dalam kejadian strok, dan menjadi salah satu punca kematian di seluruh dunia.” katanya.

Kajian yang diterbitkan dalam eClinicalMedicine ini menggunakan data dari 2006 hingga 2018 dari University of Michigan Health and Retirement Study.

Seramai 12,161 orang berumur 50 tahun ke atas yang tidak pernah mengalami strok ditanya soalan mengenai kesunyian antara 2006 dan 2008.

Empat tahun kemudian, 8,936 orang yang masih dalam kajian menjawab soalan yang sama dan penyelidik kemudian mengumpulkan mereka mengikut jawapan mereka pada dua masa itu.

Kumpulan itu ialah :sentiasa rendah” (mereka yang mendapat markah rendah pada skala kesunyian pada kedua-dua masa); “beransur pulih” (mereka yang mendapat markah tinggi pada mulanya dan rendah pada susulan); “baru bermula” (mereka yang mendapat markah rendah pada mulanya dan tinggi pada susulan); dan “sentiasa tinggi” (mereka yang mendapat markah tinggi pada kedua-dua masa permulaan dan susulan).

Antara mereka yang memberikan dua penilaian kesunyian dari masa ke masa, 601 strok berlaku antara 2010-2018.

Daripada mereka yang kesunyiannya diukur pada permulaan kajian sahaja, 1,237 strok berlaku.

Selepas mengawal faktor seperti pengasingan sosial dan gejala kemurungan, yang berkaitan rapat dengan kesunyian tetapi berbeza, penyelidik mendapati bahawa mereka yang dianggap sunyi pada permulaan kajian mempunyai risiko strok 25 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang tidak alami sunyi.

Antara mereka yang mendapat markah “sentiasa tinggi” untuk kesunyian pada kedua-dua masa, terdapat risiko strok 56 peratus lebih tinggi berbanding mereka dalam kumpulan “sentiasa rendah”.

Dr Soh berkata: “Penilaian berulang terhadap kesunyian mungkin membantu mengenal pasti mereka yang sentiasa sunyi. Oleh itu, mereka berisiko lebih tinggi untuk strok.

“Jika kita gagal menangani perasaan kesunyian mereka, pada skala mikro dan makro mungkin mereka ada masalah kesihatan.”

Dr Soh berkata, orang ada perasaan kesunyian seharusnya dibantu dan bukan diasingkan secara sosial.

Dalam kajian terdahulu oleh University of York, mendapati bahawa orang yang merasa sunyi adalah kira-kira 30 peratus lebih mungkin mengalami strok atau penyakit jantung, iaitu dua punca utama kematian di Britain.

Pakar mengatakan bahawa terdapat beberapa penjelasan.

Sesetengah saintis mengatakan bahawa mereka yang sunyi mungkin tidak ramai orang atau rakan di sekelilingnya yang boleh mengambil tahu dan menggalakkan mereka menjaga kesihatan.

Tetapi kajian terdahulu oleh Universiti Harvard mengaitkan perasaan pengasingan dengan peningkatan tahap protein pembekuan darah yang boleh menyebabkan serangan jantung dan strok.

Pengasingan didapati, mengaktifkan isyarat tekanan “melawan atau lari” yang meningkatkan tahap protein fibrinogen sebagai persediaan untuk kecederaan dan kehilangan darah.

Terlalu banyak fibrinogen (protein globulin yang larut di dalam darah, bertukar menjadi fibrin semasa proses pengumpalan darah oleh tindakan enzim trombin) tidak baik untuk kesihatan, meningkatkan tekanan darah dan menyebabkan pembentukan deposit lemak dalam arteri. – Agensi

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *