Pesawat menjunam, 13 penumpang Korean Air dikejarkan ke hospital

Pesawat menjunam, 13 penumpang Korean Air dikejarkan ke hospital

SINGAPURA – Seramai 13 penumpang Korean Airlines yang dalam penerbangan dari Korea Selatan ke Taiwan, dihantar ke hospital akibat kecederaan selepas pesawat dinaiki menjunam beberapa kilometer dari altitud tinggi, Sabtu lalu.

Berdasarkan laporan agensi berita Yonhap, seramai 15 penumpang mengalami kesakitan di gegendang telinga dan hiperventilasi dengan 13 daripada mereka dibawa ke hospital.

Yonhap yang memetik Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan berkata, pesawat KE189 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon ke Lapangan Terbang Antarabangsa Taichung, membawa 125 penumpang sebelum berpatah balik akibat masalah itu.

Menurutnya, pesawat yang berlepas pada jam 4.45 petang itu dikesan mengalami masalah terhadap sistem tekanannya kira-kira 50 minit selepas berlepas.

Sistem tekanan udara mengawal tekanan kabin dalaman pesawat.

Menurut Yonhap, berdasarkan data daripada perkhidmatan pengesan penerbangan Flightradar24, ketinggian pesawat itu menjunam sejauh 7.6 km dalam masa kira-kira lapan minit.

Katanya, pesawat itu kemudiannya tiba semula di Lapangan Terbang Incheon pada jam 7.40 malam.

“Namun tiada kecederaan serius dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, laporan Taipei Times memetik, salah seorang penumpang dikenali sebagai Tseng, berkata beliau menyaksikan tangisan kanak-kanak di dalam pesawat ketika topeng oksigen terjatuh.

Beliau yang ke Korea Selatan atas urusan perniagaan, turut mengakui berasa sangat takut kerana menyangkakan pesawat itu akan terhempas.

Seorang lagi penumpang pesawat bernama Hsu memberitahu Taipei Times, beliau sudah dapat berasakan ada sesuatu yang tidak kena selepas pesawat itu kelihatan seperti berlegar-legar di udara.

“Saya dan anak saya memakai topeng oksigen apabila pesawat menjunam dan mengalami kesakitan di bahagian telinga dan kepala,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *