KUALA LUMPUR – Timbul kekecohan dalam media sosial apabila terdapat dakwaan berlaku insiden membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) malam tadi.
Insiden itu berlaku selepas tamat perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC bertemu Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan keputusan memihak kepada tuan rumah 2-1.
Berdasarkan klip video yang viral di akaun X mendakwa sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) bertindak mengheret seorang peminat Selangor FC yang dikatakan antara dari kumpulan ultras.
Kejadian dikatakan bermula selepas bas dinaiki kumpulan ultras Perak dibaling batu di lebuh raya oleh tiga penyokong Selangor.
Berikutan itu, mereka bertindak mengejar individu berkenaan yang kemudiannya berhenti mengisi petrol di sebuah stesen minyak.
Namun, nasib tidak menyebelahi penyokong skuad pasukan Selangor itu apabila penyokong TBG sempat menangkap seorang daripada mereka.
Berikutan itu, terdapat dakwaan mengatakan ultras Perak ‘menculik’ penyokong Selangor dengan membawanya menaiki bas mereka.
Namun, terdapat maklumat lain mengatakan ultras Perak bukan mahu melarikan individu terbabit, tetapi hanya membawanya ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
Pergaduhan melibatkan kedua-dua penyokong bukanlah baharu kerana insiden sama pernah tercetus pada Disember tahun lalu di pekarangan stadium MBPJ menyebabkan beberapa individu ditahan polis. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252