BERITA UTAMA
Orang Asli maut dipijak gajah di Gerik

Orang Asli maut dipijak gajah di Gerik

IPOH – Seorang lelaki Orang Asli maut, dipercayai dipijak seekor gajah di kawasan kebun getah Kampung Lerlar, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, dekat Gerik, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.40 petang semalam.

Menurutnya, mangsa yang berumur 65 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan RPS Kemar.

“Hasil siasatan, kira-kira pukul 3.15 petang semalam, mangsa telah pergi ke kebun getah untuk mencari kayu.

“Semasa saksi yang merupakan anak perempuan mangsa yang berumur 44 tahun berada di rumah kebun berhampiran tempat kejadian, dia telah terdengar bunyi teriakan mangsa serta bunyi gajah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, setelah keadaan reda, saksi bersama abang iparnya telah pergi ke tempat kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah.

Selain itu, tambahnya, saksi juga terlihat kelibat seekor gajah di kawasan tersebut.

“Semasa berada di kebun getah tersebut, mangsa dipercayai telah terserempak dan dipijak oleh seekor gajah,” ujarnya.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, Zulkifli menasihatkan masyarakat di Pos RPS Kemar agar lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti pertanian dan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapat maklumat mengenai kehadiran hidupan liar, agar tindakan sewajarnya dapat diambil. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *