BERITA UTAMA
Pesta Wau Antarabangsa tarik lebih 30 peserta dari 15 negara

Pesta Wau Antarabangsa tarik lebih 30 peserta dari 15 negara

KOTA BHARU – Pesta Wau Antarabangsa Kelantan kali ke-14 yang akan diadakan di Pantai Geting, Tumpat selama tiga hari bermula Khamis ini melibatkan 32 peserta antarabangsa daripada 15 negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, antara negara yang mengesahkan penyertaan ialah Australia, Austria, Jepun, Hong Kong, Jerman, Poland, Amerika Syarikat, China, Kemboja, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.

Beliau berkata, pesta bertemakan ‘Wau Sepanjang Zaman’ itu masih relevan sebagai medium beriadah selain menjadi pencetus semangat kepada penggiat dan peminat wau di negara ini.

“Saya juga difahamkan pesta ini akan disertai 205 peserta daripada Majlis Pelayang Malaysia dan kami menganggarkan 200,000 akan hadir pada pesta berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain itu, Kamarudin berkata, dua lagi acara utama dalam kalendar pelancongan Tahun Melawat Kelantan 2024 ialah Larian Gunung Tok Nenek Bubu Yong Yap Ultra pada 29 dan 30 Jun diikuti Karnival Sukan Udara Antarabangsa Kelantan pada 5 hingga 8 Julai ini.

Beliau berkata, acara larian gunung yang membabitkan tiga puncak ikonik iaitu Gunung Tok Nenek, Gunung Bubu dan Gunung Yong Yap itu akan membawa pelari menakluki laluan hutan yang mencabar sepanjang 50 kilometer itu dijangka mendapat penyertaan peminat sukan itu di seluruh negara.

Beliau berkata, Sukan Udara Antarabangsa Kelantan kali ketiga yang akan diadakan di Kampung Gong Kubur, Pasir Puteh bakal menghimpunkan 150 peserta dalam kategori alat kawalan jauh dan lebih 100 peserta dalam kategori paramotor, selain pertunjukan belon udara panas.

“Semua acara besar ini adalah sebahagian daripada 70 acara tahunan yang kita rancang sepanjang Tahun Melawat Kelantan 2024 bagi mencapai sasaran 10 juta pengunjung ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, hingga Mac sejumlah 300,000 pelancong direkodkan berkunjung ke Kelantan menerusi 30 acara yang telah diadakan. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *