BERITA UTAMA
Israel bunuh 42 rakyat Palestin di Gaza - Hamas

Israel bunuh 42 rakyat Palestin di Gaza – Hamas

KAHERAH – Sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas bandar Gaza di utara wilayah Palestin pada Sabtu (22 Jun), kata pengarah pejabat media kerajaan yang dikendalikan Hamas.

Satu serangan Israel ke atas rumah di Al-Shati, sebuha daripada lapan kem pelarian bersejarah di Semenanjung Gaza, membunuh 24 orang, kata Ismail Al-Thawabta Reuters.

Sejumlah 18 lagi rakyat Palestin, dakwa beliau, terbunuh dalam serangan ke atas rumah di kawasan kejiranan Al-Tuffah.

Sementara tentera Israel dalam kenyataan ringkas berkata: “Jet angkatan pertahanan Israel (IDF) telah menyerang dua tapak infrastruktur tentera Hamas di kota Gaza.”

Butiran lanjut akan dikeluarkan tidak lama lagi, kata kenyataan itu lagi.

Hamas pula tidak mengulas mengenai dakwaan Israel telah menyerang infrastruktur ketenteraannya.

Sebaliknya, pasukan pejuang itu dalam kenyataannya menegaskan, serangan itu menyasarkan penduduk awam dan berikrar dalam satu kenyataan “pendudukan dan kepemimpinan Nazinya akan membayar harga untuk pencabulan mereka terhadap rakyat kita.”

Rakaman yang diperoleh Reuters menunjukkan berpuluh-puluh rakyat Palestin bergegas keluar untuk mencari mangsa di tengah-tengah rumah yang musnah.

Rakaman itu menunjukkan rumah yang rosak, dinding yang diletupkan, dan serpihan serta debu memenuhi jalan di kem pelarian Shati.

Kempen darat dan udara Israel di Gaza tercetus apabila militan pimpinan Hamas menyerbu ke selatan Israel pada 7 Oktober tahun lalu, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menawan lebih 250 tebusan, dakwa Israel.

Serangan itu telah menyebabkan Gaza hancur, membunuh lebih 37,400 orang, dengan 101 daripadanya terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin dan menyebabkan hampir keseluruhan penduduk kehilangan tempat tinggal dan melarat.

Lebih lapan bulan selepas perang, kemaraan Israel kini tertumpu kepada dua kawasan terakhir yang masih belum ditawan tenteranya: Rafah di pinggir selatan Gaza dan kawasan sekitar Deir al-Balah di tengah.

Penduduk berkata, kereta kebal Israel memperdalam pencerobohan mereka ke kawasan barat dan utara Rafah dalam beberapa hari kebelakangan ini. Pada Sabtu, tentera Israel mengebom beberapa kawasan dari udara dan darat, memaksa ramai keluarga yang tinggal di kawasan yang disifatkan sebagai zon kemanusiaan untuk meninggalkan utara.

Tentera Israel mendakwa, tentera meneruskan operasi sasaran “tepat, berasaskan perisikan” di Rafah, membunuh ramai lelaki bersenjata Palestin dan merungkai infrastruktur ketenteraan.

Pada hari Jumaat, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin terbunuh di Mawasi di barat Rafah dan 50 cedera.

Penduduk Palestin berkata, peluru kereta kebal terkena sebuah khemah yang menempatkan keluarga pelarian.

Dalam perkembangan sama, tentera Israel mendakwa, insiden itu sedang dalam siasatan.

“Siasatan awal yang dijalankan menunjukkan bahawa tidak ada petunjuk bahawa serangan telah dilakukan oleh IDF di kawasan penempatan pelarian di Al-Mawasi,” katanya. – Reuters

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *