JOHOR BAHRU – Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, dekat sini yang mengorbankan dua anggota polis pada awal pagi 17 Mei lalu didakwa di mahkamah pagi ini.
Semua mereka iaitu ibu, bapa, abang, kakak dan adik kepada penyerang yang dikawal ketat anggota polis dikatakan akan menghadapi beberapa pertuduhan termasuk Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan.
Pada 24 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua suspek yang berusia 19 hingga 62 tahun itu ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas tempoh reman mereka berakhir.
SOSMA membenarkan penahanan mana-mana suspek selama 28 hari tanpa perbicaraan.
Dalam kejadian serangan pada jam 2.45 pagi 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
Sementara itu, Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Penyerang terbabit maut ditembak dalam kejadian berkenaan.
Razarudin dilaporkan berkata, siasatan awal mendedahkan keluarga itu membawa fahaman radikal.
Pada hari sama juga, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) turut dilaporkan ditahan reman selepas disyaki mempunyai kaitan terhadap serangan itu pada hari yang sama, selepas serangan itu.
Bagaimanapun, dua penuntut itu dibebaskan tanpa syarat selepas siasatan selesai, bulan lalu. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252