KUALA LUMPUR – Pameran lukisan berteraskan karya ciptaan dan nyanyian tersohor Datuk M Nasir membuka pintunya di ibu negara, bagi meraikan perjalanan seni penuh inspirasi selama 45 tahun seniman ini mengabdikan diri dalam dunia kreatif.
Pameran diberi nama, Sesat Di Kuala Lumpur, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M Nasir di Galeri Puteh, KL Eco City Mall di sini, dianjurkan sejak 8 Jun lalu hingga 30 Jun ini, bagi menambah menambah kehangatan menjelang konsert solo tokoh seni bergelar sifu ini pada 10 Ogos depan.
M Nasir atau nama penuh, Mohamad Nasir Mohamed, 67, memberitahu idea menganjurkan pameran seni timbul selepas terfikir mengenai langkah yang perlu dilakukan sempena Konsert Dato MN45ir Cipta yang bakal dipentaskan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
“Ketika hanya duduk-duduk, timbul satu idea untuk membuat sesuatu sempena konsert solo pada 10 Ogos. Jadi, saya cakap kepada pengurusan galeri, bagaimana sekiranya diadakan pameran lukisan yang berdasarkan lagu saya.
“Saya fikir sangat sesuai dan menarik kerana ia seperti cerminan kepada kerjaya saya sepanjang 45 tahun menghasilkan lagu. Kalau melukis memang sejak kecil saya sudah berkecimpung, lebih daripada 45 tahun.
“Jika diikutkan, sebelum menyanyi saya memang melukis. Saya ambil bidang seni lukis ketika di sekolah dan menjadi pelukis sepenuh masa sebelum jadi penyanyi.
“Selepas itu, barulah saya tumpukan perhatian dalam bidang muzik,” katanya ditemui pada majlis perasmian pameran berkenaan di Galeri Puteh, KL Eco City Mall di sini, baru-baru ini.
M Nasir mengakui, setiap lukisan dihasilkan berjaya menarik minatnya, malah berpeluang melihat bakat dimiliki setiap pelukis handalan di Malaysia dalam memberi interpretasi terhadap karya ciptaannya.
“Mungkin daripada lagu dihasilkan melekat di hati beberapa pelukis tempatan yang akhirnya menyumbang kepada pameran ini. Saya sangat suka dengan pameran ini kerana dapat melihat satu interpretasi lain daripada apa yang dibayangkan.
“Pelukis ini mendengar lagu, tetapi mereka melihat gambaran dan membayangkan bagaimana lagu ini diterjemahkan dalam seni.
“Semua lukisan ini memang bagus kerana pelukisnya antara yang baik dalam generasi ini.
“Saya suka kebanyakan karya seni lukis ini kerana kemahiran mereka yang tak perlu dipersoalkan lagi. Setiap pelukis ada interpretasi sendiri terhadap karya saya. Apabila melihat hasilnya, ia sangat menarik perhatian saya,” katanya.
Pameran itu menghimpunkan lebih 30 pengkarya seni tampak, fotografi dan persembahan, selain menjanjikan satu pengalaman artistik luar biasa kepada semua pengunjung.
Selain M Nasri yang turut menyumbang karya, pengkarya lain yang menyertai pameran ialah Rafiee Ghani, Ahmad Fuad Osman, Masnoor Ramli, Abdullah Jones, Samsuddin Wahab, Stephen Menon, Najib Bamadhaj, Shafiq Nordin, Hisyamuddin Abdullah, Kide Baharudin, Ika Sharom dan ramai lagi.
Pameran berlangsung 22 hari itu menampilkan karya yang diilhamkan daripada lagu ciptaan M Nasir.
Dengan menggabungkan elemen seni visual, fotografi dan persembahan, pameran itu menawarkan perspektif unik mengenai warisan, budaya dan kreativiti M Nasir yang memberi impak besar dalam industri seni Malaysia.
Pameran Sesat Di Kuala Lumpur, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M Nasir adalah manifestasi penghargaan terhadap sumbangan M Nasir yang tiada tandingan dalam memperkaya landskap seni dan budaya negara. – Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252