PETALING JAYA – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) mempersoalkan keperluan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melantik ‘duta dalam talian’ untuk menyampaikan maklumat dan menangkis fitnah di alam maya.
Puad Zarkashi berkata, kerajaan sudah mempunyai beberapa entiti dengan fungsi serupa seperti Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan Komuniti Madani di bawah Kementerian Komunikasi.
Katanya, langkah mewujudkan ‘duta’ itu akan mengakibatkan jentera media sosial kerajaan bertindih dan ‘caca marba’.
“Ada baiknya jentera komunikasi kerajaan dimantapkan dengan kaedah lebih berkesan,” kata Puad kepada FMT.
J-Kom merupakan penjenamaan semula Jasa, untuk menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat dan sahih kepada rakyat, selain mendapatkan maklum balas.
Menteri Nga Kor Ming pada Khamis mengumumkan penubuhan pasukan ‘duta online’ yang terdiri daripada 200 kakitangan kementerian, untuk menyebarkan maklumat dan ‘mempertahankan rakyat daripada fitnah’.
Katanya, pasukan itu akan menggunakan bahasa dan pendekatan yang lebih mudah difahami rakyat, serta digalakkan untuk menggunakan kreativiti dalam menghasilkan kandungan yang menarik.
Puad berpesan bahawa jentera yang ‘menyerang ikut emosi’ akan memburukkan imej kerajaan.
“Lebih dibimbangi duta ‘online’ KPKT hanya menjadi alat sebagai ‘cybertrooper’ untuk mempertahankan menteri atau individu tertentu,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252