SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) memberi keyakinan tinggi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang 6 Julai ini berpihak kepada parti itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, calon PN mampu menang dengan mudah pada pilihan raya ini.
“Saya yakin dan berharap 100 peratus calon PN akan memenangi pilihan raya itu.
“Dengan keadaan sekarang ini, mengambil kira ketidakpuasan hati yang dirasai oleh rakyat terhadap kerajaan sedia ada… kita boleh menang.
“Banyak sebab yang membuatkan sentimen rakyat tidak berpuas hati dan mungkin penduduk di Sungai Bakap turut berasakan benda yang sama,” katanya kepada Majoriti.
Beliau juga mengingatkan bahawa PN telah berjaya memenangi kawasan tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang lalu sekali gus menunjukkan keyakinan bahawa sejarah kemenangan tersebut akan berulang.
“Sudah terbukti setahun yang lalu PN menang di kawasan tersebut pada PRN 2023.
“Kami di PN akan bekerja keras untuk meyakinkan rakyat dan insya-ALLAH saya sendiri akan turun memberi sokongan terhadap Calon di Sungai Bakap,”
Terdahulu, media melaporkan PN mengesahkan calon daripada PAS akan mewakili gabungan itu dalam PRK DUN Sungai Bakap.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan pihaknya akan mengumumkan identiti calon untuk PRK itu pada 15 Jun ini.
“Penyandang yang meninggal dunia adalah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) PAS, jadi kita akan kekalkan begitu. Kerusi itu adalah kerusi PAS.
“Kita akan umumkan calon pada 15 Jun. Selepas itu, calon akan diberikan watikah untuk bertanding di bawah PN,” katanya.
Sementara itu, Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) diumumkan sebagai calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK Sungai Bakap.
Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya Kerajaan Perpaduan, Rafizi Ramli pada Malam Pengumuman Calon Perpaduan PRK Sungai Bakap di Simpang Ampat pada malam Rabu lalu.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252