BERITA UTAMA

Pacuan empat roda terbalik, 13 pelajar Orang Asli cedera ringan

GUA MUSANG – Tindakan pantas 13 pelajar Orang Asli Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya di sini, bertindak melompat dari kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki, dapat mengelak mereka dari insiden lebih teruk.

Kenderaan itu yang mengalami masalah brek dalam perjalanan menghantar mereka pulang ke rumah di Pos Simpor sempena cuti Aidiladha.

Menurut Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan berkata, dalam kejadian Khamis lalu itu, pacuan empat roda yang membawa pelajar Orang Asli itu terbalik apabila pam brek tiba-tiba pecah.

“Kenderaan pacuan empat roda yang membawa pelajar itu dilaporkan hilang kawalan akibat daripada pam brek yang pecah menyebabkan kenderaan tersebut terbalik di Bukit Setol, laluan ke Pos Simpor.

“Semua pelajar hanya mengalami kecederaan ringan. Tindakan pantas pelajar yang melompat keluar dari kenderaan sebelum ia terbalik menyelamatkan mereka daripada kecederaan serius,” katanya dipetik Harian Metro.

Beliau berkata, sejurus menerima makluman kejadian, pihaknya segera menghantar kenderaan syarikat kontraktor kesihatan bagi membawa keluar pesakit untuk menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Kuala Betis.

“Kenderaan kontrak kesihatan segera dihantar ke lokasi kejadian untuk membawa pelajar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan bantuan segera kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor, Jamil Gabon berkata, dia berterima kepada pihak JAKOA yang bertindak pantas membawa pelajar ke klinik kesihatan untuk menerima rawatan.

“Cuma apa yang kami harapkan kenderaan yang akan digunakan sentiasa diselenggara dan berada dalam keadaan baik sebelum mengambil anak-anak untuk dihantar atau balik dari sekolah kerana ini membabitkan keselamatan,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *