KUALA LUMPUR – Harapkan pegar, pegar makan pagi.
Begitulah perumpamaan Melayu yang dikaitkan berlaku disebuah bank di Kota Kinabalu apabila polis berjaya menahan seorang kakitangan yang disyaki bertindak sebagai ‘orang dalam’ dan bersekongkol dengan sebuah sindiket untuk mengeluarkan wang tunai berjumlah RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan di sekitar Kota Kinabalu di Sabah, kelmarin.
Beliau berkata, kegiatan suspek dikesan selepas siasatan dilakukan polis susulan empat laporan yang diterima pada awal Jun lalu membabitkan pengeluaran mencurigakan, lapor Berita Harian.
Laporan itu, katanya, dibuat mangsa dan kakitangan bank terbabit di Petaling Jaya, dekat sini, mendakwa berlaku pengeluaran secara tunai di Kota Kinabalu, Sabah membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.
“Semua pemilik akaun mendakwa tidak mengetahui transaksi pengeluaran dan tidak pernah ke Kota Kinabalu bagi melakukan pengeluaran itu.
“Susulan itu suspek yang juga kakitangan bank terbabit ditahan di sekitar Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata, siasatan awal menemukan penglibatan ahli sindiket dari dalam bank itu sendiri berikutan transaksi pengeluaran tanpa kebenaran itu hanya boleh dilakukan dengan kerjasama ‘orang dalam’.
Setakat ini, katanya polis sudah mengenal pasti beberapa lagi suspek dan sedang dalam proses memburu mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Hasil tangkapan itu, polis merampas tiga unit telefon bimbit bersama kad sim, lapan kad mesin juruwang wang automatik (ATM), satu komputer riba dan tunai berjumlah RM4,400.
“Polis akan memastikan siasatan kes ini dilaksanakan sebaiknya selaras peruntukan undang-undang negara,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252