SHAH ALAM – Polis menyelamatkan seramai 17 pembantu warga Indonesia yang menjadi hamba kepada majikan tanpa dibayar gaji.
Siasatan mendapati, mereka tidak pernah menerima gaji antara enam bulan hingga dua tahun sepanjang bekerja di sebuah rumah, dekat sini semalam.
Dalam operasi dilakukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu turut menahan tiga individu warga tempatan di rumah yang dijadikan asrama syarikat perkhidmatan pembantu rumah berkenaan.
Menurut Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong, fokus operasi bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandu kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI).
“Dalam serbuan itu, kita berjaya menyelamatkan 17 wanita dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia eksploitasi buruh paksa.
“Semua mereka berumur antara 25 tahun sehingga 45 tahun merupakan pembantu rumah,” katanya di sini, hari ini.
Kata Soffian, tiga lelaki warga tempatan berumur antara 31 tahun sehingga 40 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.
“Ketiga-tiga suspek ini melibatkan majikan dan penyelia yang berperanan mengambil dan menghantar mangsa ke tempat kerja.
“Selain itu, siasatan juga mendapati mangsa telah bekerja antara enam bulan sehingga dua tahun dengan majikan itu, selain mendakwa tidak pernah menerima sebarang bayaran gaji,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252