BERITA UTAMA
2.52 juta kenderaan penuhi lebuh raya utama sempena Aidiladha - LLM

2.52 juta kenderaan penuhi lebuh raya balik kampung sambut Aidiladha – LLM

KUALA LUMPUR – Purata peningkatan trafik harian di lebuh raya utama mampu mencecah sehingga 2.52 juta kenderaan pada hari-hari puncak menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha Isnin ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataan berkata, pertambahan jumlah kenderaan itu dijangka berlaku secara berperingkat bermula semalam hingga 18 Jun 2024 (Selasa).

Kata LLM, daripada jumlah tersebut, purata trafik di lebuh raya bawah Kumpulan PLUS Berhad dijangka mencapai sehingga 2.2 juta kenderaan.

“Manakala di Lebuhraya KL Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) masing-masing mencecah sehingga 181,000, 80,000 dan 60,000 kenderaan setiap hari sepanjang tempoh ini,” kata LLM. 

Mengulas lanjut, LLM memaklumkan mengambil usaha untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya dengan mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya mengambil langkah-langkah bagi meminimakan kesan peningkatan trafik.

“Antaranya, mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula pada 12 hingga 19 Jun ini.

“Sebagai satu usaha bagi mengurangkan kesesakan, LLM dan Syarikat Konsesi akan mengaktifkan 20 lokasi laluan ‘smart lane’ di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti di Lebuhraya PLUS bermula 14 Jun sehingga 18 Jun dan laluan ‘tidal flow’ di Lebuhraya KL- Karak pada 18 Jun.

“LLM turut memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik yang tinggi,” ujarnya.

LLM berkata, pihaknya turut memastikan Syarikat Konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan untuk menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.

“Ini termasuk menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL Karak, Lebuhraya Pantai Timur 1 dan Lebuhraya Pantai Timur 2.

“LLM turut nasihkatkan pengguna merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA oleh pihak PLUS Berhad bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) oleh pihak Anih Berhad bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

“Memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan dan memastikan baki kad touch and go dan e-wallet adalah mencukupi,” katanya.

LLM berkata, pengguna yang melalui jajaran yang terlibat dengan pengaktifan ‘smart lane’ boleh menggunakan bahu jalan sebagai laluan alternatif ketika berlaku kesesakan dan dinasihatkan mematuhi papan tanda lalu lintas yang disediakan.

LLM turut menasihatkan pengguna motosikal supaya berhati-hati jika menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya dan berteduh di tempat berteduh penunggang motosikal yang telah disediakan semasa cuaca buruk. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *