BERITA UTAMA
Iran pertingkat kapasiti nuklear - IAEA

Iran pertingkat kapasiti nuklear – IAEA

VIENNA – Iran memperluaskan lagi kapasiti nuklearnya, kata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) semalam, seminggu selepas lembaga pengelola agensi itu meluluskan resolusi yang mengkritik kurangnya kerjasama Tehran dengan badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

IAEA memaklumkan ahlinya, Tehran memberitahu agensi itu, mereka sedang memasang lebih banyak ‘cascade’ di loji pengayaan di Natanz dan Fordow, menurut satu kenyataan yang dihantar kepada AFP.

‘Cascade’ – satu siri emparan, mesin yang digunakan dalam proses memperkaya uranium.

Sumber diplomatik menganggap perkembangan itu sebagai ‘sederhana’.

Usul yang dibawa oleh Britain, Perancis dan Jerman tetapi ditentang China dan Russia di lembaga 35-negara IAEA minggu lalu adalah yang pertama diadakan sejak November 2022.

Resolusi itu yang diselar Tehran sebagai ‘tergesa-gesa dan tidak bijak’ berikutan ditimbulkan di tengah-tengah kebuntuan terhadap aktiviti nuklear Iran yang semakin meningkat dan ketika kuasa Barat bimbang Tehran mungkin sedang berusaha membangunkan senjata nuklear, namun dakwaan itu dinafikan Iran.

Walaupun bersifat simbolik pada peringkat ini, usul mengecam itu bertujuan meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Iran, dengan pilihan untuk berpotensi merujuk isu itu kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Pada masa lalu, resolusi yang sama mendorong Tehran untuk bertindak balas dengan mengeluarkan kamera pengawasan dan peralatan lain dari kemudahan nuklearnya dan meningkatkan aktiviti pengayaan uraniumnya.

“Laporan yang dikeluarkan hari ini oleh IAEA menjelaskan Iran berhasrat untuk terus mengembangkan program nuklearnya dengan cara yang tidak mempunyai tujuan damai yang boleh dipercayai.

“Iran mesti bekerjasama dengan IAEA tanpa berlengah lagi untuk melaksanakan sepenuhnya kewajipan perlindungannya yang mengikat secara sah,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matthew Miller dalam satu kenyataan.

Menurut IAEA, Iran adalah satu-satunya negara senjata bukan nuklear yang memperkayakan uranium ke paras tinggi 60 peratus, iaitu sesuatu tahap yang hanya kurang daripada gred senjata selain ia terus meningkatkan simpanan uranium yang besar.

IAEA berkata, Tehran meningkatkan program nuklearnya dengan ketara dan kini mempunyai bahan yang mencukupi untuk membina beberapa bom atom.

Republik Islam itu secara berperingkat melepaskan komitmennya di bawah perjanjian nuklear yang dicapainya dengan kuasa dunia pada 2015.

Perjanjian penting itu memberikan Iran kelegaan daripada sekatan Barat sebagai pertukaran untuk mengekang program atomnya, tetapi ia terlerai selepas pengunduran unilateral AS ketika Donald Trump menjadi Presiden pada 2018.

Setakat ini, usaha memulihkan perjanjian itu gagal. – AFP

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *