Bahagian Akhir: Malaysia dan Sepanyol – Kemerdekaan yang diuji, antara kemanusiaan dan kepentingan nasional

Oleh Dr. Norhayati Alias

SEBAGAI negara merdeka, Malaysia mempunyai hak untuk menentukan sempadannya dan melindungi rakyatnya. Kemerdekaan juga memberikan kebebasan untuk menentukan bagaimana negara patut bertindak terhadap manusia yang berada dalam keadaan terdesak dan memerlukan. 

Dalam kedua-dua kes, etnik Rohingya di Malaysia dan rakyat Maghribi di Ceuta, transisi yang paling penting adalah daripada manusia kepada kumpulan, dan daripada kumpulan kepada ancaman.

Seorang manusia yang hampir lemas mengundang simpati. Sekumpulan besar manusia yang hadir secara tiba-tiba memerlukan pengurusan dan pengendalian yang rapi.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Apabila kumpulan tersebut seolah-olah hilang kawalan dan kendalinya, tekanan terhadap ruang, keselamatan dan identiti perlahan-lahan bertukar menjadi satu ancaman.

Walaupun fenomena tersebut tidak dirasai oleh semua masyarakat, tetapi ia dapat menjelaskan bagaimana emosi kemanusiaan boleh beralih daripada simpati kepada ketakutan, malah kebencian.

Ceuta dan Malaysia juga menunjukkan ketakutan tidak semestinya bermula daripada kebencian. Ia boleh bermula dengan persoalan yang sangat biasa; “Bagaimana jika kita tidak mampu mengawal keadaan ini?”

Di Ceuta, persoalan itu menjadi sangat kuat kerana skala kemasukan dan perubahan ruang bandar berlaku secara langsung yang disaksikan oleh penduduk setempat.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Di Malaysia, persoalan yang sama berkembang lebih perlahan melalui kebimbangan mengenai pekerjaan, keselamatan, perumahan, status undang-undang dan identiti.

Jika kebimbangan ini terus berlangsung tanpa maklumat dan jawapan yang menyakinkan, ia boleh berubah menjadi naratif seluruh komuniti adalah ancaman.

Dari sini, dapat kita rumuskan perbandingan krisis pendatang tanpa izin Maghribi di Ceuta dan Rohingya di Malaysia bukanlah untuk menentukan rakyat mana yang lebih baik atau lebih berperikemanusiaan, tetapi menunjukkan bentuk reaksi turut bergantung pada bagaimana situasi itu dialami.

Ancaman kepada kehidupan masyarakat

Faktor jumlah kemasukan yang luar biasa secara mendadak di hadapan mata lebih mudah menerbitkan rasa terancam dan kehilangan hak dalam skala yang besar, manakala kemasukan yang beransur-ansur pula dirasai dengan lebih perlahan kesannya.

Tetapi, dalam kedua-duanya satu persamaan boleh dilihat iaitu, mereka yang pada awalnya dilihat sebagai yang patut dilindungi akhirnya boleh bertukar sebagai komuniti yang dianggap mengancam kehidupan.

Justeru, persoalan tersebut membawa kita kembali kepada makna kemerdekaan. Kemerdekaan bukan sekadar kemampuan untuk menentukan siapa yang boleh memasuki sempadan kita.

Ia juga merupakan kebebasan untuk menentukan nilai yang mahu dipertahankan apabila berhadapan dengan mereka yang berdiri di luar sempadan.

Malaysia mempunyai hak untuk menjaga sempadannya. Maka, persoalan sebenar bukan sekadar sama ada sempadan perlu dibuka atau ditutup, tetapi bagaimana sebuah negara merdeka dapat menjaga sempadannya tanpa kehilangan kemanusiaannya.

Sempadan akhirnya bukan hanya tempat manusia masuk dan keluar. Ia adalah tempat menentukan siapa yang kita anggap “kita” dan siapa yang kita letakkan sebagai “mereka”.

Ceuta memperlihatkan bagaimana simpati boleh bertukar menjadi ketakutan apabila mereka sendiri yang menyaksikan kedatangan pendatang secara besar-besaran.

Sementara, rakyat negara ini memperlihatkan bagaimana ketakutan boleh bertambah hari demi hari berikutan keberadaan pelarian dalam masyarakat setempat secara lebih perlahan.

Maka, reaksi penduduk Ceuta, Sepanyol dan masyarakat Malaysia terhadap imigran tidak semestinya boleh disandarkan sebagai rasis tetapi, lebih kepada kebimbangan terhadap keselamatan, ketenteraman awam, dan kesejahteraan masyarakat setempat yang sekian lama dinikmati dan dipertahankan.

Kehadiran yang diterima

Pada masa sama, kedua-dua masyarakat turut memperlihatkan kemampuan untuk menerima pendatang apabila kehadiran mereka tidak dianggap mengancam kehidupan sosial atau keselamatan tempatan.

Dalam konteks Malaysia misalnya, masyarakat telah lama menerima kehadiran warga Indonesia dalam kehidupan seharian. Walaupun terdapat kes kemasukan atau pekerjaan tanpa dokumen, secara umumnya kehadiran masyarakat Indonesia tidak menghasilkan tahap keresahan yang sama seperti isu Rohingya.

Mungkin salah satu sebab adalah mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran tempatan dari segi bahasa, budaya, agama dan cara berinteraksi, selain sebahagian besar memasuki Malaysia melalui saluran pekerjaan yang sah.

Kehadiran mereka juga telah lama menjadi sebahagian daripada realiti sosial dan ekonomi Malaysia.

Situasi hampir sama dapat dilihat di Sepanyol dalam menerima pendatang dari Amerika Selatan. Walaupun pendatang asing, masyarakat Sepanyol secara relatifnya lebih mudah menerima kehadiran orang luar kerana sebahagian besarnya datang melalui saluran kawalan sempadan yang sah, selain mempunyai hubungan bahasa dan budaya yang rapat dengan Sepanyol.

Cara mereka hadir dan menempatkan diri sebagai pendatang turut mempengaruhi persepsi masyarakat. Hal ini menunjukkan bukan semata-mata asal-usul mereka yang menentukan penerimaan atau penolakan, tetapi bagaimana kehadirannya dialami oleh masyarakat tempatan.

Dalam konteks ini, perbandingan Ceuta dan Malaysia memperlihatkan satu perkara yang penting iaitu, masyarakat bukan sahaja menilai siapa yang datang, tetapi bagaimana mereka datang dan bagaimana menyesuaikan diri setelah berada di tempat baharu.

Kemasukan yang berlaku melalui saluran sah, menghormati undang-undang, tidak mendadak serta penyesuaian diri lebih mudah diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat tempatan.

Maka, persoalan sebenar bukanlah sama ada rakyat Malaysia atau Sepanyol “suka” atau “benci” orang asing. Kedua-dua masyarakat pada asasnya mempunyai keinginan sama untuk hidup dalam keadaan aman, selamat dan sejahtera.

Mereka bersimpati kepada manusia yang melarikan diri daripada peperangan atau penindasan, tetapi pada masa sama mahu memastikan keselamatan dan kesejahteraan diri dan masyarakat mereka tidak terjejas.

Justeru, pengalaman Ceuta dan Malaysia mengingatkan kita bahawa keamanan dan kemanusiaan tidak seharusnya diletakkan sebagai dua pilihan yang bertentangan.

Masyarakat berhak mengharapkan keselamatan dan ketenteraman, manakala imigran dan pelarian pula berhak dilihat sebagai manusia. Cabarannya adalah mencari titik keseimbangan di antara kedua-duanya.

Dalam erti kata lain, sempadan yang tegas tidak semestinya bermaksud masyarakat yang rasis, sebagaimana simpati terhadap pelarian tidak semestinya bermaksud negara perlu mengabaikan kawalan sempadan.

Apa yang menentukan masa depan hubungan antara penduduk tempatan dengan pendatang adalah sejauh mana kemasukan dapat diurus secara teratur, undang-undang dihormati, masyarakat penerima dilindungi dan pada masa sama nilai kemanusiaan tidak diketepikan.

Di situlah tergambar semangat cintakan keamanan dan kesejahteraan, bukannya rasis, dan hakikat ini seharusnya menjadi asas dalam memahami reaksi kedua-dua masyarakat di Malaysia dan Sepanyol.

Pendatang asing dengan izin

Dalam ruangan ini, penulis ingin berkongsi mengenai pengalaman sendiri sebagai “pendatang asing dengan izin” di bumi Sepanyol. Sepanjang keberadaan di sana, penulis tidak pernah menerima layanan buruk atau perbuatan berbaur rasisdaripada penduduk tempatan.

Setiap kali penulis memasuki premis-premis perniagaan misalnya, penulis akan disapa mesra dengan senyuman dan sambutan yang ramah. Begitu juga setiap kali bertembung dan bertentang muka, mereka memberi laluan sebagai tanda hormat kepada orang luar seperti penulis.

Ketika perlawanan akhir Piala Dunia di antara Sepanyol dan Argentina, penulis bersama-sama penduduk setempat menonton perlawanan itu di tempat terbuka yang dipenuhi hampir 30,000 orang yang majoritinya adalah warga tempatan.

Baju merah berlogo negara mereka yang dipakai penulis cukup membuat mereka gembira. Sepanjang perlawanan berlangsung situasi seperti terpijak kaki, dan sebagainya tidak langsung menyentuh rasa amarah mereka. Malah, penulis duduk bersandar belakang dengan seorang remaja perempuan ketika perlawanan berhenti rehat.

Penulis turut berkesempatan bertanya beberapa rakyat tempatan mengenai pendirian dan perasaaan mereka terhadap situasi imigran di negara itu. Rata-rata jawapan mereka adalah sama. Mereka tidak kisah dengan kehadiran pendatang, tetapi biarlah mengikut undang-undang yang sah.

Hal yang sama penulis perhatikan berlaku dalam masyarakat kita. Tentunya, mereka tidak boleh di label sebagai rasis. Masyarakat kita cuma sayangkan keamanan dan kesejahteraan yang sekian lama terbina di bumi bertuah Malaysia.

Walaupun negara telah 69 tahun merdeka, apa yang masyarakat harapkan adalah kemerdekaan yang berkekalan dan kesejahteraan berterusan untuk agama, bangsa dan negara tercinta ini.

Dr Norhayati Alias berkhidmat di Unit Bahasa Asing dan Terjemahan, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Penulis berada di Sepanyol dari 3 Julai hingga 7 Ogos kerana mengikuti Program Pemantapan Profesional Bahasa Sepanyol yang ditaja oleh Fundacion Duques de Soria dan Carlos V Education, Sepanyol.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *