BERITA UTAMA
Menantu Muhyiddin tak hubungi SPRM untuk serah diri - Azam Baki

Menantu Muhyiddin tak pernah hubungi SPRM untuk serah diri – Azam

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan usaha mengesan ahli perniagaan, Datuk Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih diteruskan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata sehingga kini Muhammad Adlan belum menghubungi agensi itu untuk menyerah diri.

“Tidak ada perkembangan, dia belum lagi dapat dikesan dan dia pun tak hubungi kita untuk menyerah diri.

“Kita masih lagi berusaha dengan INTERPOL (Polis Antarabangsa) dan pihak berkuasa lain untuk mengesan dia,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan pelancaran buku bertajuk ‘The Sin of Corruption A Religious Perspective’ di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Selain Muhammad Adlan, seorang lagi adalah peguam, Mansoor Saat dengan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor mengesahkan permohonan notis merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Interpol.

Tindakan menyenaraikan nama mereka di dalam notis merah itu dilakukan selepas dimohon SPRM untuk mengetahui keberadaan kedua-dua individu itu. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *