PETALING JAYA – Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kejadian melibatkan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu didakwa berlaku di Apartment Idaman, Damansara Damai, pada 5 Disember tahun lalu.
Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari, masing-masing berusia 29 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Dr Shahliza Warnoh sebentar tadi.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, manakala peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.
Zaim dan Ismanira ditahan reman pada 31 Mei lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 kerana membunuh. Reman pasangan itu tamat hari ini.
Terdahulu, peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili bapa Zayn Rayyan berkata, anak guam dan isterinya boleh didakwa atas pertuduhan selain di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh kanak-kanak autisme itu. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252