PUTRAJAYA – Selepas hampir dua jam memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad enggan mengulas mengenai prosiding dihadirinya.
Ketika ditemui media di pekarangan bangunan Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, beliau memaklumkan akan mengadakan sidang media di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana pada jam 3 petang ini.
Pada masa sama, beliau tidak mahu mengulas berhubung prosiding berkenaan kerana ia dibuat secara tertutup.
“Ini adalah meeting (prosiding) tertutup, saya tak boleh kata apa, tetapi saya akan berjumpa media berkenaan dengan pemikiran which is not a secret,” kata beliau.
Terdahulu, Dr. Mahathir yang tiba di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) pada jam 10.46 pagi.
Turut hadir memberi sokongan, Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali dan mantan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Dr. Mahathir untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah supaya prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.
Hakim, Datuk Amarjeet Singh juga menolak permohonan sama yang dikemukakan Dr. Mahathir bagi perintah melarang Tun Md. Raus Sharif daripada bertindak sebagai Pengerusi RCI dan menghalang Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dan Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir daripada menjadi ahli RCI.
Datuk Amarjeet turut menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu untuk menangguhkan prosiding RCI sehingga penyelesaian akhir permohonan berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Dr. Mahathir supaya dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa RCI membenarkan beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding berkenaan, lapor AWANI. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252