PETALING JAYA – Pengusaha bas persiaran pelancong mahu kerajaan membenarkan mereka menaikkan harga perkhidmatan jika rayuan untuk mendapatkan subsidi diesel ditolak.
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita), Mint Leong berkata, ia perlu dilakukan atau mereka berdepan risiko kerugian disebabkan peningkatan kos operasi apabila tidak lagi menerima manfaat subsidi diesel.
Katanya, kerajaan perlu sedar industri pelancongan turut menyumbang kepada hasil dan pendapatan negara.
“Jika kerajaan tidak membenarkan kita menaikkan harga, sukar untuk meneruskan perniagaan ini,” katanya kepada FMT.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, kerajaan tidak berhasrat memberikan subsidi diesel kepada pengusaha bas persiaran kerana sebahagian besar perkhidmatan itu digunakan oleh pelancong asing.
Beliau juga memberi peringatan tiada syarikat boleh menaikkan harga tanpa memaklumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Mita menyerahkan memorandum kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing semalam, merayu sektor itu dimasukkan dalam senarai penerima subsidi diesel.
Persatuan itu mendakwa, kenaikan RM1.20 seliter diesel akan meningkatkan kos operasi pengusaha secara mendadak memandangkan bas mereka beroperasi setiap hari dan menggunakan kira-kira 3,800 liter sebulan.
Katanya, pengusaha terpaksa menanggung kerugian antara RM200 hingga RM250 sehari disebabkan pengapungan harga diesel yang bermula Isnin pada kadar RM3.35 seliter.
Melalui usaha penyasaran subsidi diesel kerajaan menjangkakan dapat menjimatkan perbelanjaan RM4 bilion setahun dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
Beberapa sektor pengangkutan awam darat serta pengangkutan barangan masih menerima subsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Sektor pengangkutan awam darat berkelayakan dalam SKDS termasuk bas ekspres, bas sekolah, ambulans dan bomba kekal pada harga RM 1.88 seliter. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252