BERITA UTAMA
Datuk, nenek Zayn Rayyan pula ditahan

Datuk, nenek Zayn Rayyan pula ditahan

KUALA LUMPUR – Datuk dan nenek kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin pula ditahan polis petang ini di sebuah lokasi berdekatan Subang Bestari, Shah Alam.

Kedua mereka ditahan anggota D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Selangor kira-kira jam 2.30 petang.

Pengesahan dibuat Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pasangan itu ditahan jam 2.30 petang tadi, ketika dihubungi Astro AWANI pada petang Rabu.

Menurut Hussein, penahanan mereka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan akan direman esok.

Media melaporkan nasib ibu bapa Zayn Rayyan yang direman selama 13 hari bagi membantu siasatan kes bunuh anak terbabit akan diketahui esok, sama ada didakwa atau dibebaskan dengan jaminan polis.

“Esok adalah hari terakhir (ibu bapa Zayn) direman, hari ke-13. Esok adalah keputusan, saya percaya kertas siasatan sudah sampai ke pihak Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata peguam bela bapa kanak-kanak berkenaan, Fahmi Abdul Moin, ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamahetaling Jaya pada, Rabu.

“Mereka (AGC) akan mengakses dan meneliti serta lihat dan membuat keputusan esok sama ada lepas dengan jaminan polis atau dituduh.

“Semua kena bersabar dan kita tunggu esok. Penekanan kami seperti rakyat Malaysia ingin nasib arwah (Zayn Rayyan) dibela dan diberi keadilan,” kata Fahmi.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan pegawai penyiasat polis dipercayai membawa ibu Zayn ke Mahkamah Majistret hari ini untuk memohon bagi mendapatkan pengakuan salah wanita itu berkaitan kes bunuh kanak-kanak autisme berkenaan.

Peguam bela ibu kanak-kanak itu, Mahmud Jumaat, dipetik berkata pihaknya membantah permohonan terbabit yang dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.

Beliau turut berkata, anak guam juga tidak membuat sebarang pengakuan dan perkara itu direkodkan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mahmud turut berkata bahawa pasangan terbabit sama ada didakwa atau dibebaskan dengan jaminan polis akan diketahui esok.

“Saya mohon orang ramai memberi kerjasama dan tidak membuat apa-apa spekulasi. Kita perlu menghormati proses siasatan dan esok kita boleh mendengar dan melihat pertuduhan dibuat serta hasil siasatan,” tambahnya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *