KUALA LUMPUR – Pelakon dan anggota kumpulan Senario, Azlee Jaafar berkongsi keadaan kesihatannya semakin stabil selepas melakukan prosedur peletakan sten di Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 Jun lalu.
Azlee berkata, dia sudah keluar hospital dan dinasihatkan berehat selama sebulan untuk proses kesembuhan.
“Keadaan saya bertambah baik selepas melakukan prosedur sten. Saya sudah keluar hospital dan berehat di rumah. Kalau nak diikutkan doktor memang tak benarkan saya pulang untuk biarkan jantung saya benar-benar pulih, tapi saya mohon keluar.
“Saya bukan tak nak duduk di hospital, tapi empat hari pun bil sudah mencecah RM40,000. Saya pula tiada insuran sebab dulu saya ada penyakit hempedu dan hati. Keluarga berkongsi duit, selain bantuan Yayasan Selangor.
“Alhamdulillah, saya dalam keadaan stabil sekarang,” katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Azlee ke klinik berdekatan rumahnya selepas sukar bernafas, sebelum dinasihatkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB).
HSB membawa Azlee ke IJN untuk menerima rawatan lanjut, sebelum menjalani pembedahan dan prosedur meletakkan sten pada hari sama.
Azlee berkata, doktor memaklumkan keadaannya sangat kritikal kerana jantungnya tersumbat sebanyak 99 peratus dan salah satu urat pada injap jantungnya putus.
“Saya terus menjalani pembedahan pada hari sama sebab doktor kata kalau lambat lima minit mungkin saya sudah tiada. Pembedahan dilakukan selama tiga jam, bila sedar sahaja saya sudah berada di CCU,” katanya.
Sementara itu, Azlee turut meluahkan rasa syukur apabila ramai pihak datang menziarah dan menghulurkan bantuan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri ada hantar wakil datang melawat dan menghulurkan sumbangan. Alhamdulillah,” katanya.
Dalam pada itu, Azlee berterima kasih kepada pihak media yang banyak berkongsi mengenai kisahnya yang boleh dijadikan pengajaran.
Katanya, doktor berpesan kepadanya untuk menjaga pemakanan dan elak makanan berkolesterol tinggi.
“Yang utamanya saya kena elak makanan berkolesterol. Keduanya, perkara ini juga boleh disebabkan akibat tekanan kerja dan sebagainya, jadi mungkin jantung pam laju.
“Doktor ada nasihatkan saya apa yang boleh makan dan tidak boleh. Terima kasih kepada pihak media yang mengambil berat.
“Apa yang dapat kongsi, jangan makan makanan berkolesterol kerana ia boleh menutup injap jantung,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252