Tajuk Utama
    'Rosmah guna dana syarikat beli barang kemas, hampir AS$350 juta' - 1MDB

    ‘Rosmah guna dana syarikat beli barang kemas, hampir AS$350 juta’ – 1MDB

    KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lima anak syarikatnya, mendakwa Datin Seri Rosmah Mansor memperoleh barang kemas, beg tangan dan barangan mewah lain yang dibeli menggunakan dana syarikat itu bernilai hampir AS$350 juta (RM1.6 bilion) daripada 48 vendor berbeza di 14 negara, lapor Berita Barian.

    Perkara itu dinyatakan 1MDB dalam pernyataan tuntutannya melalui saman difailkan terhadap Rosmah dan Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) pada 4 Jun lalu.

    Semua plaintif dalam saman itu ialah 1MDB dan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd.

    Plaintif lain adalah syarikat pesisir luar iaitu Affinity Equity International Partners Limited (Affinity), Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

    Dalam pernyataan tuntutan itu, 1MDB mendakwa terdapat hampir 400 transaksi yang membawa kepada pembelian barangan berkenaan menggunakan dana syarikat pelaburan strategik negara itu antara tahun 2010 dan 2014.

    Ia mendakwa, lapan entiti berdaftar dalam bidang kuasa luar pesisir membuat 320 pembayaran berjumlah AS$346.01 juta kepada 48 vendor barangan mewah berbeza yang berpangkalan di tidak kurang daripada 14 bidang kuasa dan diterima oleh defendan pertama (Rosmah).

    Syarikat itu mendakwa, dana daripada 1MDB dan SRC dipindahkan secara curang kepada entiti berkenaan yang tidak mempunyai kaitan atau tujuan yang sah berhubung objektif pelaburan kedua-dua syarikat terbabit..

    Plaintif mendakwa, entiti berkenaan serta urus niaga di antara mereka membabitkan dana 1MDB dan SRC, tidak mempunyai tujuan komersial yang sah, selain bertindak sebagai saluran untuk mengalihkan dana.

    Ia menyenaraikan 48 vendor iaitu dari British Virgin Islands (satu), Hong Kong (sembilan), India (empat), Indonesia (dua), Itali (tiga), Lubnan (tiga), Mauritius (satu), Panama (satu), Singapura (satu), Thailand (dua), Emiriah Arab Bersatu (tujuh), Türkiye (dua), United Kingdom (dua) dan Amerika Syarikat (tujuh).

    1MDB dan SRC mendakwa, lapan entiti luar pesisir yang menerima dana yang tidak berkaitan dengan syarikat itu termasuk Aabar Seychelles, Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone, Brightstone, Good Star Ltd dan World Merit Management Ltd.

    Semua lapan entiti itu dikatakan bertindak sebagai perantara dan membuat pembayaran bagi barangan mewah terbabit.

    Plaintif mendakwa, dana 1MDB dan SRC mula-mula dialihkan kepada fidusiari dan pemegang amanah yang dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng, dan bekas Perdana Menterj, Datuk Seri Najib Razak.

    Sehubungan itu, mereka menuntut perisytiharan bahawa 1MDB dan lima anak syarikatnya (plaintif pertama hingga keenam) mempunyai kepentingan proprietari berekuiti atau kepentingan benefisial terhadap barangan mewah berkenaan yang dapat dikesan dalam pemilikan Rosmah.

    Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa Rosmah memegang barangan mewah itu dan hasilnya yang dapat dikesan atas amanah konstruktif bagi 1MDB dan anak syarikatnya.

    Selain itu, mereka menuntut perisytiharan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya itu berhak untuk mengesan barangan mewah terbabit dan perisytiharan bahawa Rosmah bertanggungjawab kepada mereka (plaintif) selaku pemegang amanah konstruktif barangan berkenaan.

    Selain itu, kesemua plaintif turut menuntut ganti rugi pampasan berekuiti, ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan untuk ditaksirkan oleh mahkamah.

     

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *